Ahmad Shabery (tengah)  bersama  pengunjung  pada program Jelajah MAHA 2016 di IOI City Mall, Putrajaya.
Ahmad Shabery (tengah) bersama pengunjung pada program Jelajah MAHA 2016 di IOI City Mall, Putrajaya.
Siti Fatimah Hassan dan Siti A’isyah Sukaimi


Serdang: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menyasarkan kehadiran lebih 40 peratus pengunjung Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA 2016) pada 1 Disember depan terdiri daripada golongan belia dengan matlamat untuk menarik minat mereka terhadap bidang keusahawanan berkaitan produk pertanian.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, golongan belia perlu diberi pendedahan mengenai peluang yang ada selain mengubah persepsi mereka terhadap bidang pertanian yang bukan hanya membabitkan aspek penanaman malah ia lebih meluas.

“Apa yang penting ialah bagaimana kita ingin menarik belia ke arah pertanian dan mengubah tanggapan bahawa ia hanya untuk masyarakat desa serta golongan lebih berusia. Kita mahu kehadiran ke MAHA 2016 ini lebih 40 peratus adalah golongan muda.

“Kita memberi komponen baru dalam MAHA kali ini untuk menarik golongan belia ini supaya mereka lebih berminat kerana pertanian bukan hanya bercucuk tanam tetapi banyak peluang keusahawanan dan perniagaan di sini,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan prapelancaran NAFAS Agro Youth Camp 2016 dan Larian MAHA Agro Run 2016 di Taman Tasik Rekreasi MARDI, di sini, semalam.

Majlis dihadiri Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang turut menyertai larian dan acara zumba bersama 700 peserta.

MAHA 2016 yang akan berlangsung 1 hingga 12 Disember depan dijangka menarik lebih daripada 3.5 juta pengunjung tempatan dan antarabangsa untuk menikmati hasil pertanian segar, hidangan popular, buahan tempatan dan eksotik serta menyelami pengalaman pertanian di pelbagai laman disediakan.

Sebanyak 18 negara iaitu Fiji, Korea, Afrika Selatan, India, Sri Lanka, Ecuador, Pakistan, Bangladesh, Algeria, Australia, Iran, Sepanyol, Kanada, China, Thailand, Vietnam, Jepun dan Tunisia mengesahkan penyertaan ke pameran itu.

Selain itu, Ahmad Shabery berkata, antara usaha lain untuk menarik penyertaan belia ke pameran itu ialah menerusi penyediaan tapak perkhemahan di taman tasik berkenaan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai aktiviti riadah.

“Apa yang penting adalah, kita bersama tanpa mengira ideologi untuk menghayati mereka yang memberi hidangan atas meja kita semasa MAHA nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 5:26 AM