AHMAD Zahid  meluangkan masa melawat Pameran Lembu Hibrid Sado ketika hadir pada majlis perasmian penutupan MAHA 2016 di MAEPS, Serdang. Turut hadir Ahmad Shabery  (dua dari kiri).
AHMAD Zahid meluangkan masa melawat Pameran Lembu Hibrid Sado ketika hadir pada majlis perasmian penutupan MAHA 2016 di MAEPS, Serdang. Turut hadir Ahmad Shabery (dua dari kiri).
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Serdang: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu menjadikan Tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS) sebagai Pusat Agro Pelancongan negara.

Beliau berkata, pusat itu akan mengumpul dan memasarkan pelbagai produk hasil pertanian serta industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan dan luar negara.

“Ini secara tidak langsung dapat membantu merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.

“Saya berharap selepas pelancaran Transformasi Nasional 50 (TN50), negara akan mempunyai bekalan makanan mencukupi untuk 50 juta penduduk dan lebihannya boleh dieksport ke luar negara,” katanya ketika berucap pada perasmian penutup MAHA 2016, semalam.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

MAHA 2016 yang berlangsung selama 11 hari bermula 1 Disember lalu melabuhkan tirainya, semalam.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan penganjuran MAHA 2016 adalah paling berjaya kerana kehadiran ramai pengunjung dan penyertaan peserta.

Selain itu, Ahmad Zahid turut menawarkan diri menjadi Pengerusi Penyelaras MAHA akan datang yang diadakan dua tahun sekali.

“Ini bagi membolehkan saya membantu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mempromosikan MAHA dan diadakan lebih gemilang.

“Saya amat gembira kerana MAHA 2016 mempunyai elemen antarabangsa kerana turut membabitkan 20 peserta seperti dari negara Fiji, Korea, Afrika Selatan, India, Sri Lanka, Pakistan dan Bangladesh,” katanya.

Pada majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan hadiah kepada Pavilion negeri Perak kerana menjadi johan Pertandingan Rumah Negeri Terbaik MAHA 2016 dengan memenangi hadiah wang tunai RM5,000 berserta piala.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 11:06 AM