REKAAN luaran premium.
REKAAN luaran premium.
Lizam Ridzuan


Sejak dilancarkan pada 2005, Toyota Innova memenuhi keperluan pengguna untuk segmen kenderaan pelbagai guna (MPV) saiz sederhana di Malaysia.

UMW Toyota Sdn Bhd (UMWT) melancarkan generasi kedua Innova serba baharu pada awal minggu ini menampilkan rekaan yang lebih bergaya dengan ciri premium bahagian luaran dan dalaman.

Antara pembaharuan pada model ini ialah bahagian gril krom hadapan, perumah lampu utama dan profil sisi yang elegan serta ruang dalaman dengan penggunaan lampu suasana (ambient light).

Tambah menarik ia kini dilengkapi dengan sistem kemasukan pintar termasuk butang mula/henti, kawalan penyaman udara automatik bagi penumpang depan dan belakang serta kotak pendingin di hadapan.

Dikuasakan dengan enjin 2.0 liter 1TR-FE empat silinder Dual VVT-i yang memberikan prestasi dan penjimatan bahan api, ia turut menerima pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Untuk keselamatan, ia ditawarkan dengan tujuh beg udara SRS, Kawalan Ke­stabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Penarikan (TRC), Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Penyaluran Brek Elektronik (EBD), Bantu Brek (BA) dan ba­nyak lagi.

Struktur badan diperkukuhkan dengan keluli tekanan tinggi pada beberapa bahagian mendapat penarafan lima bintang ASEAN NCAP untuk perlindungan penumpang dewasa.

Menurut Presiden UMWT, Datuk Ismet Suki, generasi kedua ini diba­ngun berdasarkan kajian pasaran yang dilakukan dan permintaan terhadap MPV saiz ini sentiasa ada.

“Selain lebih premium, sistem suspensi baru diperkenalkan bagi pemanduan lebih selesa serta kadar kebisingan lebih rendah bagi perjalanan yang lebih me­nyenangkan,” katanya ketika majlis pelancaran.

Tiga varian ditawarkan pada harga atas jalan RM109,000 (2.0E M/T), RM117,000 (2.0E A/T) dan RM126,000 (2.0G A/T) dengan jaminan lima tahun waranti tanpa had perbatuan.

Ada enam pilihan warna iaitu putih super, perak metalik, perak medium metalik, kelabu metalik, hitam attitude mica dan gangsa avant-garde metalik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2016 @ 5:02 AM