TOYOTA Burning Black (Vellfire 2.5L).
TOYOTA Burning Black (Vellfire 2.5L).
Lizam Ridzuan


UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan pengenalan kenderaan pelbagai guna (MPV) premium Toyota Alphard dan Vellfire yang dipertingkatkan untuk tahun 2020.

Tempahan dibuka mulai hari ini di semua pengedar sah Toyota serta cawangan UMWT seluruh negara.

Kedua-dua model itu masing-masing ditawarkan pada harga bermula RM383,000 untuk Vellfire dengan satu varian dan RM465,000 untuk Alphard (dua varian).

Model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun itu kini ditawarkan dengan warna pilihan terkini iaitu Luxury White Pearl CS GF (hanya bagi Alphard 3.5 Executive Lounge dan Alphard 3.5L), Burning Black (Vellfire 2.5L) selain White Pearl C, Graphite Metallic serta Black bagi kedua-dua model.

Ciri-ciri teknologi turut ditambah terutama yang berkaitan keselamatan dan ketersambungan selari dengan Pengalaman Jenama 360-Darjah baru oleh UMWT yang memberi penekanan aspek Safe-T dan Connectivi-T.

Antara tambahan sistem baharu ialah Toyota Safety Sense (TSS), Sistem Brek Sokongan Parkir, Sistem Infotainmen AVX 9-inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto-Tersedia, Perakam Video Digital (DVR) depan dan belakang, Sistem Telematik Kenderaan (VTS) dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).

Meskipun kedua-dua model itu seakan sama namun, dari segi rekaan, Alphard mengenengahkan konsep ‘formal dan dinamik’ untuk lebih mewah dan Vellfire pula ialah ‘Cool Tech’ dengan penggayaan moden.

Sama seperti model lain yang diimport UMWT, Vellfire dan Alphard akan menikmati jaminan pengeluar sepenuhnya dan bekalan alat ganti tersedia.

Sokongan khidmat selepas jualan juga dipastikan oleh juruteknik terlatih yang mengendalikan servis dengan alatan dan kelengkapan khusus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 9:41 PM