FOTO bertakjuk `Kakak stabil' adalah berita yang disiarkan Harian Metro, malam tadi. Foto kiri bertanda `tak betul' adalah keratan kandungan viral yang dimaksudkan.
FOTO bertakjuk `Kakak stabil' adalah berita yang disiarkan Harian Metro, malam tadi. Foto kiri bertanda `tak betul' adalah keratan kandungan viral yang dimaksudkan.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Setar: Berita kematian budak perempuan mangsa dera di Flat Paya Nahu, Sungai Petani, yang sedang viral ini adalah tidak benar.

Sebaliknya mangsa kini stabil dan dirawat di wad kanak-kanak Hospital Sultan Abdul Halim.

Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail meminta orang ramai tidak mempercayai berita itu.

"Saya dah semak (akaun) Facebook viral berkenaan melalui pengarah hospital Sultan Abdul Halim.

“Ketua jururawat kanan wad berkenaan sahkan bahawa kanak-kanak itu stabil dan viral kematiannya adalah tidak benar," katanya dalam kenyataan ringkas melalui WhatsApp, hari ini.

Dalam kenyataan malam tadi, beliau mengesahkan mangsa yang juga kakak kepada budak lelaki yang ditemui mati di dalam tong ikan dalam keadaan stabil di hospital itu.

Menurutnya, budak perempuan itu dimasukkan ke hospital, pada 3.54 pagi semalam.

Katanya, budak perempuan itu mengalami kecederaan fizikal di beberapa bahagian tubuh.

Dr Norhizan berkata, namun secara keseluruhannya mangsa di bawah pemerhatian Pakar Perunding Kanak-Kanak dan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2016 @ 9:34 AM