Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Setar: Kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang terkena tembakan peluru penabur semalam, berkemungkinan terpaksa hidup dengan lima butir peluru di dalam badan.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, ini berikutan baki lima daripada 13 butir peluru berkenaan berada agak dalam pada tubuh mangsa dan berisiko jika dikeluarkan.

Katanya, Nur Syahida Bakar mula dirawat di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Bahiyah jam 6.15 petang semalam dan Pakar Pakar Kecemasan mengeluarkan dua butir peluru tanpa pembedahan.

"Hari ini dia menjalani pembedahan lebih lima jam bermula 12.05 tengah malam tadi untuk mengeluarkan baki 11 lagi bebola peluru penabur yang berada dalam badannya, namun hanya enam berjaya dikeluarkan.

"Kebiasaannya butir yang ditinggalkan tidak mendatangkan masalah. Namun, untuk tidak mengambil sebarang kemungkinan berlaku, kanak-kanak berkenaan akan terus dipantau walaupun selepas dibenarkan pulang dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Norhizan berkata, pembedahan itu dikendalikan tiga pakar iaitu Pakar Pembedahan Plastik, Pakar Bedah Am dan Pakar Ortopedik, namun hanya enam daripada 11 bebola peluru terbabit dikeluarkan iaitu pada dahi, bahagian atas tangan kanan, siku kanan dan lutut kanan.

"Bagaimanapun, pakar yang menjalankan pembedahan bersepakat untuk tidak mengeluarkan baki lima butir peluru kerana kedudukannya yang agak dalam dan dibimbangi akan menyebabkan lebih kerosakan kepada tisu di kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, mangsa stabil dan pakar yang merawatnya akan terus memantau perkembangan kanak-kanak itu.

Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, Nur Syahida cedera terkena tembakan 13 peluru penabur dilepaskan pemburu burung ayam-ayam ketika mangsa sedang makan di dapur rumahnya di Kampung Lubuk Keriang, Pokok Sena, dekat sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 8:16 PM