Nur Syazwana Mansor


Pendang: JKM Kedah akan berbincang dengan nenek kepada Nureen Batrisya Abd Aziz, 4, bagi memutuskan hak penjagaan kanak-kanak itu selepas ini.

Nureen Batrisya adalah mangsa dera teman lelaki ibunya di Flat Paya Nahu, Sungai Petani.

Exco Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Suraya Yaacob, berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan wanita itu, esok.

Katanya, pertemuan untuk berbincang dan memutuskan hak penjagaan kanak-kanak terbabit sebaik sahaja dia dibenarkan keluar dari hospital.

Katanya, keadaan kanak-kanak perempuan itu kini semakin stabil.

Menurutnya, JKM sudah mendapatkan beberapa maklumat seperti nenek mereka pernah menjaga kanak-kanak terbabit sebelum dijaga semula oleh ibu mereka.

"Selama ini bantuan bulanan RM400 untuk kanak-kanak terbabit memang di bawah nama nenek mereka tetapi dijaga ibu,” katanya selepas menyempurnakan Program Pemerkasaan Komuniti dan Keluarga (FACE) Peringkat Negeri Kedah.

Program itu diadakan sempena Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1 Malaysia, di Dewan Semai Bakti, Felda Sungai Tiang, di sini, hari ini.

Kes penderaan Nureen Batrisya dan arwah adik lelakinya, Muhammad Qhairullah Abd Hadi, 2, mendapat perhatian umum.

Ini berikutan mayat adiknya ditemui dalam keadaan menyayat hati dibalut selimut toto dan disumbat ke dalam tong ikan di rumah tingkat tiga Flat Paya Nahu, Sungai Petani, 24 November.

Nureen Batrisya yang turut didera dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Perbuatan kejam itu dipercayai dilakukan teman lelaki dan ibu mereka, masing-masing berusia 34 dan 26 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2016 @ 3:34 PM