REDHA memenangi Filem Terbaik ASK edisi ke 18 kali ini.
REDHA memenangi Filem Terbaik ASK edisi ke 18 kali ini.
Adam Salleh

Sebaik Munafik disebut Top 5 Filem Terbaik ASK2016 (Anugerah Skrin 2016), terdengar pekik dan jerit dalam PICC (Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya). Jeritan dan pekikan itu refleksi emosi peminat fanatik Shamsul Yusof agar Munafik yang mencatat kutipan RM19 juta dapat mengulangi kejayaan diraih pada FFM28 (Festival Filem Malaysia Ke28) dua bulan lalu untuk merangkul kategori sama di ASK2016 pula.

Apatah lagi Shamsul tidak pernah memenangi kategori Pengarah Terbaik ASK, membuktikan kali ini anugerah itu miliknya di ASK2016. Filem lain turut tersenarai Top 5 Filem Terbaik ASK, Polis Evo (arahan Ghaz Abu Bakar), Love Supermoon (Wan Hasliza), Nota (Bea Tanaka) dan Redha (Tunku Mona Riza). Sebagaimana penyampai anugerah, Datuk Rosyam Nor berdebar-debar mengusik Erra Fazira, begitulah dalam setiap anugerah, debaran penggiat filem terutama pengarah lebih membara apatah lagi di ASK, Top 5 hanya ketahui pada malam kemuncak.

Takdirnya Rosyam Nor menyebut Redha Filem Terbaik ASK edisi ke 18 kali ini. Kemenangan Redha nyata sekali panel juri tidak dipengaruhi dengan kemenangan Munafik di FFM28. Menganjurkan sesuatu anugerah pada waktu hampir sama, ada kala keputusan dibuat pun sama.

Umpamanya di ASK2015 lalu, filem Lelaki Harapan Dunia dipilih Filem Terbaik, pada waktu sama sebelum itu di FFM27 filem arahan Liew Seng Tat turut muncul Filem Terbaik. Kemenangan berganda Redha apabila Namron (watak Razlan) muncul Pelakon Lelaki Terbaik.

Cumanya Redha, filem inspirasi anak autistik (Autisme) yang julung kali diadaptasi ke layar perak tidak bertanding di FFM28 kerana syarat kelayakan tidak mengikut tempoh tayangan. Redha filem terbitan Current Picture Sdn.Bhd, dijangka bertanding di FFM29 tahun depan.

Melalui kolum ini pada April lalu, dikaitkan Redha sepi (kurang sambutan di pawagam) kerana tandus aspek komersial. Namun di sisi lain; mesej, filosofi dam kasih sayang ibu bapa terhadap anak istimewa, Redha mempunyai ramuan terpuji dan selayaknya filem itu dipilih FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) menerusi Jawatankuasa Festival Filem Antarabangsa untuk mewakili negara dalam kategori Filem Bahasa Asing Terbaik pada Anugerah Academy ke-89 (Oscar) yang dijadualkan berlangsung pada 26 Februari 2017.

Sebelum ini Puteri Gunung Ledang (2005), Bunohan (2013) dan Lelaki Harapan Dunia (2015) pernah menggalas harapan negara di anugerah sama. Menjadi harapan kita pada Redha kerana usahkan di Oscar, peringkat Asia pun filem kita masih kempunan muncul Filem Terbaik.

Sekalipun ASK itu turut memberi pengiktirafan pada penggiat drama televisyen (TV), namun calon-calon bertanding bagi kategori filem paling dinantikan. Antara filem dan drama, cabaran bagi penggiat filem risikonya lebih tinggi kerana karya mereka dinilai dengan harga tiket dibayar penonton, berbeza menghasilkan drama TV, soal laku atau tidak belakang kira asalkan dapat memuaskan hati pihak stesen.

Lalu tidak asing kita dengar bagi pelakon memenangi anugerah terbaik, paling dirisaukan jika penerbit atau pengarah tidak mahu mengambilnya berlakon lagi kerana ‘payment’ (bayaran) sudah tinggi. Selain Filem Terbaik, kategori Pelakon Wanita Terbaik ASK2016 agak menarik apabila Maya Karin yang bertanding untuk dua filem di FFM28 melalui Jwanita dan Nota tewas kepada Nabila Huda dalam Munafik, tetapi di ASK2016, Maya hanya tercalon kategori sama melalui Nota, berjaya menewaskan Nabila melalui Munafik.

Bertambah menarik melihat Fauziah Datuk Ahmad Daud mengekalkan kemenangannya bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM28 melalui filem Langit Cinta, memenangi kategori sama di ASK2016, dan lebih manis adiknya Fazlina yang terjun ke bidang lakonan agak lewat merangkul kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Drama) ASK2016 melalui drama Cermin Kasih pada usianya 41 tahun.

Nyata sekali legasi seniwati Datin Saadiah dan seniman Datuk Ahmad Daud masih subur di persada seni kita. Tabik buat Beto Kusyairy jika di ASK2015 menggondol Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Filem), di ASK2016 merangkul pula Pelakon Lelaki Terbaik (Drama).

Sama ada ASK atau FFM, filem ‘pecah panggung’ nyata boleh menguasai pencalonan Top 5, dan ini diperlihatkan pada Polis Evo dan Munafik. Lebih ketara sentuhan pengarah muda hingga membolehkan filem mereka tersenarai Top 5 paling menyerlah di kedua-dua anugerah itu.

Perhatian wajar juga diberikan pada seorang lagi pengarah muda, Wan Hasliza Wan Zainudin apabila filem komedi romantik arahannya Love Supermoon merangkul kategori Lakon Layar Terbaik ASK2016. Penguasaan pengarah muda dalam anugerah, selain berjaya mencatat kutipan ‘pecah panggung’ lebih RM15 juta, memperlihatkan penonton sekarang bertambah selektif dan kreatif dalam menilai sesebuah filem.

Filem-filem yang kononnya mengikut trend dengan menyelitkan komedi picisan ala Keranda Tok Wan Terbang, Kipidap mahupun Isteri Untuk Dijual sudah semakin jauh daripada selera penonton, kerana filem muktahir ini jika diambil kira kutipan dicatat filem seram/agama Munafik yang mencatat kutipan paling tinggi dalam sejarah perfileman kita, nyata sekali filem kini ditonton bukan untuk suka-suka lagi.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 9:05 AM