FALISHA tidak bersedih apabila gagal raih kejayaan dalam ASK2016.
FALISHA tidak bersedih apabila gagal raih kejayaan dalam ASK2016.
Ridzuan Abdul Rahman


Nama Falisha Crossley menjadi sebutan apabila melakar kejayaan memenangi kategori Pelakon Baharu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-28, September lalu.

Bagaimanapun, tuah tidak berpihak kepadanya apabila gagal meraih kejayaan dalam Anugerah Skrin 2016 (ASK2016) anjuran TV3 yang berlangsung baru-baru ini.

Falisha, 31, yang dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Mat Moto: Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit akur tewas kepada Maya Karin menerusi filem Nota.

Menurut Falisha, tiada sebab untuknya bersedih dan meratapi kekalahan ini kerana dicalonkan serta tersenarai dalam top 5 sudah dianggap pencapaian terbaik dalam kariernya.

“Saya hadir ke ASK dengan perasaan ceria kerana sebelum ini hadir menyokong dan ditempatkan di bahagian belakang.

“Kali ini saya ditempatkan sebaris dengan calon lain iaitu Maya Karin, Nabila Huda, Nadiya Nisaa dan June Lojong. Terasa diri ini kerdil apatah lagi saya peminat mereka.

“Saya diberitahu ada tujuh filem tercalon untuk kategori Filem Terbaik termasuk Mat Moto: Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit.

“Final pula hanya lima terbaik dipilih dan apabila diumumkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik, rasa sangat terkejut dan seakan-akan bermimpi,” katanya.

Falisha berkata, pencapaian itu cukup membanggakan dan dia berterima kasih kepada juri yang mengiktiraf bakatnya apabila disenaraikan sebagai top 5.

“Ini adalah filem pertama saya dan sangat teruja apabila berjaya dalam FFM28 serta berada pada final ASK2016.

“Sebenarnya saya tak meletakkan sasaran untuk menang kerana pihak penganjur pun sejak awal tak mendedahkan nama calon setiap kategori.

“Seperkara yang saya lihat, banyak pihak mula nampak bakat saya. Pengorbanan saya menjadi anak seni seakan-akan berbaloi,” katanya.

Mengimbas pembabitannya dalam filem Mat Moto: Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit, Falisha mengakui beruntung kerana dapat beraksi di samping nama besar antaranya Faizal Hussein, Datuk Rosyam Nor dan Zul Huzaimy.

“Saya dapat tengok mereka berlakon dan dari situ belajar banyak perkara. Bahkan saya juga sanggup mengorbankan rambut yang panjang dan kuruskan badan demi watak Sikha.

“Syukur kerana diberi peluang ini. Buat masa sekarang saya banyak berlakon drama sementara menanti tawaran filem seterusnya.

“Saya suka berlakon dan apa saja tawaran yang datang saya akan ambil asalkan karakter dan skripnya menarik.

“Walaupun sekadar muncul sebagai ‘cameo’, saya akan terima sekiranya ia ada mesej dan meninggalkan kesan terhadap naratif,” katanya yang bakal muncul dengan filem Malay Regiment.

Antara drama lakonan Falisha yang bakal disiarkan ialah Kelab Komedi TV9, Mek Minyak, Syurga Kecil Kami, Aku Tak Marah dan Biar Aku Jadi Penunggu.

Beralih sisi peribadi, Januari ini Falisha akan bergelar isteri kepada Rafiq Arif, 32. Baginya tiada sesalan memilih menamatkan zaman solo di saat popularitinya sedang mekar mewangi.

“Saya buat keputusan ini selepas setahun kenal dia. Kami bertunang pada Ogos lalu. Umur saya bukan muda lagi dan sudah sedia bergelar isteri.

“Karier pun dah stabil, jadi saya kena fikir masa depan pula. Alhamdulillah, nampaknya ramai menyokong hasrat saya,” katanya yang mula berhijab sejak Ramadan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 10:34 AM