AKTIVIS dan mangsa undang-undang tentera memegang sepanduk di hadapan bangunan Mahkamah Agung di Manila untuk membantah rancangan mengebumikan bekas presiden negara itu, Ferdinand Marcos,   di makam pahlawan, semalam. - AFP
AKTIVIS dan mangsa undang-undang tentera memegang sepanduk di hadapan bangunan Mahkamah Agung di Manila untuk membantah rancangan mengebumikan bekas presiden negara itu, Ferdinand Marcos, di makam pahlawan, semalam. - AFP
Reuters

Manila: Aktivis berhaluan kiri dan mangsa pencabulan hak asasi manusia di Filipina semalam menggesa Mahkamah Agung menghalang pengebumian bekas Presiden Ferdinand Marcos di makam pahlawan dengan alasan ia bertentangan dengan perlembagaan.

Presiden Rodrigo Duterte mengarahkan tentera mengebumikan bekas ditaktor yang memerintah negara itu secara kuku besi selama dua dekad di makam berkenaan bagi memenuhi janjinya ketika berkempen pada pilihan raya presiden beberapa bulan lalu.

Naib Presiden Leni Robredo dan senator yang bersekutu dengan bekas Presiden Benigno Aquino adalah antara yang mengkritik rancangan itu.

Semalam, mangsa pencabulan hak asasi ketika pemerintahan Marcos dan aktivis berhaluan kiri berada di Mahkamah Agung untuk memohon perintah larangan sementara bagi menghentikan rancangan itu.

“Pengebumian Marcos di makam pahlawan yang sepatutnya hanya untuk wira negara adalah bertentangan dengan perlembagaan,” kata mereka dalam petisyen yang difailkan di mahkamah itu.

Marcos adalah askar dan pemimpin gerila ketika Perang Dunia Kedua apabila bekas tanah jajahan Amerika Syarikat itu diduduki tentera Jepun.

Dia, keluarga dan kroninya mengumpulkan kekayaan sehingga mencecah kira-kira AS$10 bilion (RM40 bilion) secara haram, sementara ribuan penduduk yang disyaki pemberontak komunis dan musuh politiknya dibunuh.

Dia digulingkan pada 1986 berikutan revolusi rakyat sebelum melarikan diri ke Hawaii dan meninggal dunia tiga tahun kemudian. Mayatnya dibawa pulang pada awal 1990-an dan sehingga ini masih disimpan di makam keluarga di kampung halamannya di utara Filipina.

Menurut pengkritik, rancangan Duterte memindahkan mayat bekas diktator itu turut melanggar peraturan tentera yang menghalang pengebumian orang yang dipecat kerana melakukan kesalahan membabitkan moral.

Jurucakap presiden Martin Andanar berkata, Duterte tidak mengendahkan bantahan orang ramai dan tetap akan meneruskan rancangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 11:51 AM