MUHAMMAD ANIS menghasilkan kaligrafi tulisan khat.
MUHAMMAD ANIS menghasilkan kaligrafi tulisan khat.
Zuhainy Zulkiffli


BALIK PULAU: “Khat bermaksud garisan manakala seni khat pula bermaksud garisan yang membentuk tulisan cantik,” kata guru Pendidikan Islam, Muhammad Anis Ab Ghani, 40.

Dia bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Balik Pulau, kini aktif berkongsi pengetahuan dimiliki mengenai seni khat dan kaligrafi Jawi bersama warganet termasuk bukan Islam menerusi akaun Facebook (FB) miliknya.

Perkongsian Muhammad Anis menerusi media sosial itu menarik perhatian warganet dan tular sejak minggu lalu.

Guru ini berkata, dia hanya ingin berkongsi perasaan teruja dan pengalamannya mengajar warganet dalam kalangan bukan Islam yang berminat mengetahui dengan lebih mendalam mengenai seni tulisan khat.

Pensyarah sambilan Universiti Sains Malaysia (USM) itu mula mengajar seni khat dan kaligrafi Jawi di USM sejak 2012.

“Seni ini menjadi antara subjek pilihan kokurikulum dalam kalangan penuntut. Pada tahun pertama, saya menerima lima penuntut dari China dan kerana mahukan kepastian saya bertanya apakah mereka salah masuk kelas.

“Saya berasa bangga apabila mereka beritahu mahu mengikuti kelas itu atas dasar minat untuk menguasai seni khat dan Jawi.

 MUHAMMAD Anis  mengajar  Muhammad Hazim  menulis tulisan khat.
MUHAMMAD Anis mengajar Muhammad Hazim menulis tulisan khat.

“Penuntut bukan Islam itu menunjukkan penguasaan dan kemahiran menulis khat Jawi dengan baik meskipun tidak mendapat pendedahan awal sebelum itu,” katanya.

Katanya, dia sudah mengajar ratusan pelajar membabitkan pelbagai latar belakang dan bangsa dengan 70 adalah bukan Islam berasal dari Thailand, Asia Barat dan Sarawak.

Bapa kepada tujuh anak itu berkata, minatnya dalam seni khat bermula dari sekolah rendah, namun dia hanya berpeluang mempelajarinya ketika di sekolah menengah.

Muhammad Anis, semakin aktif mempelajari seni itu selepas melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) apabila berjumpa ramai penggiat lebih berpengalaman.

Mengakui belum menguasai sepenuhnya seni itu Muhammad Anis berkata, sejak lebih 15 tahun lalu, dia meluangkan masa selama dua jam setiap hari bagi mengasah kemahirannya.

Atas dasar minat dia menubuhkan Akademi Khat di sekolah yang kini melatih 30 murid tahun lima menguasai seni itu.

Anak ketiga Muhammad Anis, Muhammad Hazim Wafiy, 10, murid tahun empat sekolah sama turut mengikuti kelas dianjurkan bapanya.

“Dalam masa terdekat saya merancang untuk membuka galeri dan bengkel mempelajari khat di rumah. Tiada isu sekiranya penulisan Jawi atau khat diperkenalkan di sekolah kerana ia hanya antara cabang seni, sama seperti mempelajari kaligrafi Cina.

“Khat hanya cabang seni dalam penulisan dan tidak perlu takut kerana ia sama sekali tidak mempengaruhi atau memberi kesan kepada agama yang dianuti individu berkenaan,” katanya.

MUHAMMAD ANIS menunjukkan hasil kaligrafi tulisan khat.
MUHAMMAD ANIS menunjukkan hasil kaligrafi tulisan khat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 5:30 AM