NISSAN X-Trail Impul pakej menarik.
NISSAN X-Trail Impul pakej menarik.
Oleh Erywan Norshal


Selepas setahun memperkenalkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail di negara ini, kini ia hadir dengan varian lebih sporty selepas menerima sentuhan talaan Impul.

Pengenalan pakej Impul itu turut memberi peluang kepada bakal pemiliknya yang gemarkan dunia sukan bermotor untuk menampilkan Nissan X-Trail tampak bergaya.

Imejnya berbeza berbanding varian asal selepas dilengkapi ‘skirting’ sisi, spoiler hadapan dan belakang rekaan baharu, selain padanan rim aloi Impul Aura SX-50 bersaiz 18 inci bersama kemasan krom berwarna gangsa serta hitam berkilat.

Ketinggian kenderaan itu direndahkan 30 milimeter dengan bantuan gegelung Impul Sports yang turut membantu pemanduan lebih lincah dan responsif.

Ia juga dilengkapi pelindung pintu dan pemijak kaki tahan karat LED bagi melengkapkan lagi pakej berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk Edaran Tan Chong Motor, Tan Keng Meng berkata, Nissan X-Trail talaan Impul memberikan Crossover Premium Inovatif itu gaya baharu yang dinamik untuk menarik minat penggemar sukan bermotor.

“Nissan X-Trail mempu­nyai ramai peminat di Malaysia. Kami percaya dengan sentuhan Impul pada Nissan X-Trail, ia mampu menyerlahkan penampilan serta pemanduan dinamik.

“Malah imej baharu ini juga akan menarik minat mereka yang mahukan gaya lebih sporty pada kenderaan masing-masing,” katanya.

Dua varian impul yang ditawarkan membabitkan 2.5L 4WD Premium Impul berharga RM172,516.42, manakala 2.0L 2WD Premium Impul pula dijual pada RM149,715.05 di atas jalan termasuk insurans.

Pada masa sama, pelanggan dan pemilik Nissan X-Trail yang berminat dengan pakej lengkap Impul boleh memperolehnya pada harga RM15,900.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2016 @ 5:03 AM