KELUARGA bahagia Shikin.
KELUARGA bahagia Shikin.
Ramlah Zainal


Bakatnya mula digilap dalam bidang nyanyian oleh penyanyi dangdut legenda, Iwan pada era 1990-an. Selepas muncul dengan lagu hitnya, Yang....Yang, Asyik Asyik dan Hanya Kamu, nama penyanyi dangdut Shikin Dahalan terus meniti di bibir peminat irama dangdut tanah air sampai hari ini.

Malah, namanya juga sebaris artis dangdut popular tanah air seperti Sheeda, Amelina, Mas Idayu, Ifa Raziah, Ani Mayuni dan Haiza.

Namun, selepas tampil berhijab, Shikin seolah-olah menyepikan diri dari dunia glamor. Ramai yang menganggap Shikin sudahpun meninggalkan irama dangdut yang sebati dengan jiwanya.

Ketika dihubungi, pemilik nama sebenar, Aishah Dahalan, 37, menafikan dirinya sudah meninggalkan bidang nyanyian yang sudah menjadi darah dagingnya itu.

“Saya masih menyanyi sampai sekarang cuma tidak ada publisiti yang disiarkan media. Hakikatnya, saya masih memenuhi undangan persembahan sama ada untuk majlis korporat mahupun persendirian.

“Jika dulu, saya menyanyi lagu rancak sambil bergelek kini hanya membuat persembahan secara santai sesuai dengan imej Muslimah. Pada masa sama, saya juga sudah berhenti menyanyi di hotel lounge dan kelab eksklusif hampir tiga tahun lalu,” katanya.

Walaupun sudah berhijab, Shikin mengakui dia tidak kisah jika imej dangdut sukar dikikis daripada dirinya.

“Saya selesa dan tidak kisah pun dikenali sebagai penyanyi dangdut kerana ia hanya gelaran semata-mata. Bagi saya, irama dangdut masih diterima peminat sampai hari ini.

“Ke mana saja saya pergi ternyata muzik dangdut masih mendapat tempat di hati penggemarnya. Selain di televisyen dan diputarkan di corong radio, irama dangdut juga dipersembahkan di majlis kenduri atau majlis makan malam kerana ia menceriakan penonton dan tetamu,” katanya.

Ditanya perancangan untuk buat ‘comeback’ pula, kata Shikin, buat masa ini dia belum ada perancangan untuk menyemarakkan industri seni tanah air.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki, saya juga merancang untuk buat single baru. Masih lagu dangdut, tapi yang lebih berunsur nasihat atau kerohanian.

“Memang saya dikenali sebagai penyanyi dangdut, tetapi saya juga boleh menyanyi pelbagai genre termasuk pop, rock, irama melayu asli dan lagu Inggeris. Sebagai artis, saya perlu versatil dan tidak terikat dengan satu genre lagu saja,” katanya.

Mengenai projek album pula, Shikin pernah terbabit dengan rakaman album khas untuk Biro Tatanegara bersama beberapa pelajar Aswara (Akademi Seni Warisan Kebangsaan) pada tahun lalu. Ia projek album patriotik mengandungi 20 lagu yang diberi nafas baru dari segi susunan muzik.

Selain menyanyi, Shikin juga banyak terbabit dengan kerja belakang tabir selaku Timbalan Setiausaha, Persatuan Bintang Dangdut Malaysia (Bintang).

Mengimbas latarnya, Shikin pernah menghasilkan album pertama berjudul 5 Ratu Dangdut bersama Ayati Tasrip, Wann, Adila dan Masleena pada 1997. Antara lagu popular mereka ialah Joget Lagi Dangdut Lagi.

Sepanjang pembabitannya, Shikin pernah menghasilkan dua album solo iaitu Shikin yang....yang dan Shikin asyik asyik, Hanya Kamu pada 1998 dan 2000. Selain itu, album duet bersama Ani Mayuni dan enam album kompilasi.

Kali terakhir, Shikin menghasilkan album menerusi kompilasi Dang Dangdut 3 bersama Iwan, Sheeda, Mas Idayu, Haiza dan Aneesa pada 2013.

Selain menyanyi, Shikin juga mengusahakan kedai makan yang menjual pelbagai jenis sup termasuk sup tulang di Paroi, Seremban dan dikongsi bersama kakak sulungnya sebagai jaminan masa depan.

Beralih sisi peribadinya pula, Shikin sudah berumah tangga buat kali kedua bersama Jeffri Hatta. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan anak lelaki, Muhammad, dua tahun. Menerusi perkahwinan terdahulu, Shikin memiliki seorang anak perempuan, Qistina Balqis, 12.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 12:02 AM