KAKITANGAN MSN bergotong-royong membersihkan pangsapuri Vista MSN berikutan peningkatan kes denggi di sekitar kawasan berkenaan.
KAKITANGAN MSN bergotong-royong membersihkan pangsapuri Vista MSN berikutan peningkatan kes denggi di sekitar kawasan berkenaan.
Ardyhansah Amat

Kuala Lumpur: Penduduk di Apartment Vista MSN (Majlis Sukan Negara), Bukit Jalil mengambil inisiatif sendiri termasuk menggunakan kelambu dan membersihkan kawasan kediaman bagi mencegah demam denggi.

Seorang penduduk yang ditemui, Mohd Fairus Md Nor, 32, berkata, dia terpaksa membeli kelambu, sejak minggu lalu untuk kegunaan anaknya, Mohd Fikri Mohd Fairus, 7.

“Sejak kes demam denggi di sini meningkat termasuk membabitkan satu kematian minggu lalu, saya dan isteri menggunakan kelambu bagi mengelakkan anak digigit nyamuk aedes.

“Selain itu, kami juga sentiasa memeriksa tempat yang boleh menakung air bagi mengesan pembiakan nyamuk aedes dan jentik-jentik,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, keputusan MSN untuk melakukan gotong-royong perdana semalam di seluruh kawasan MSN, Sekolah Sukan Bukit Jalil, perumahan penduduk, Institut Sukan Negara (ISN) dan kawasan padang adalah tindakan tepat bagi mengekang masalah denggi di sana.

“Saya berharap aktiviti sebegini diadakan secara berkala bagi meningkatkan tahap keselamatan penduduk atau atlet di sini,” katanya.

Bagi kakitangan MSN, Mohamad Faiz Ismanisah, 29, pemeriksaan di kawasan kediaman mendapati semua saluran longkang dalam keadaan baik dan tidak terdapat pembiakan jentik-jentik.

“Bagaimanapun, kawasan kediaman kami di Vista MSN ini dikelilingi tapak pembinaan.

“Justeru, kami tidak pasti sekiranya nyamuk aedes yang ada ini datangnya dari sana atau tidak,” katanya.

Mohamad Faiz berkata, setakat ini, sebanyak sepuluh kes demam denggi dilaporkan berlaku di Vista MSN termasuk membabitkan satu kematian.

“Semua kes demam denggi ini dalam tempoh sebulan iaitu ketika musim hujan.

“Sebelum ini, tidak pernah berlaku kes demam denggi di sini. Justeru, kami berharap Kementerian Kesihatan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan pemeriksaan di tapak pembinaan berhampiran bagi memastikan tiada pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

Terdahulu, 250 penduduk termasuk kakitangan MSN dan ISN turun padang melakukan gotong royong perdana bagi membersihkan kawasan sekitar kediaman dan bangunan pejabat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 9:35 AM