PEGAWAI Pembangunan Dewan Undangan negeri (DUN) Ladang, Datuk Mohd Sabri Alwi (tengah), Ketua UMNO cawangan kampung Gong Penaga, Ismail Muhamad (kiri) dan pegawai kesihatan Epidiomiologi, Dr Hazimuhaimin Hashim (kanan) selepas merasmikan pelancaran program COMBI di Balai Raya Kampung Gong Penaga. FOTO Baharom Bakar
PEGAWAI Pembangunan Dewan Undangan negeri (DUN) Ladang, Datuk Mohd Sabri Alwi (tengah), Ketua UMNO cawangan kampung Gong Penaga, Ismail Muhamad (kiri) dan pegawai kesihatan Epidiomiologi, Dr Hazimuhaimin Hashim (kanan) selepas merasmikan pelancaran program COMBI di Balai Raya Kampung Gong Penaga. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


KES serangan denggi di seluruh Terengganu sehingga akhir September mencatatkan penurunan ketara iaitu sebanyak 215 kes berbanding 1,656 kes berbanding tempoh sama, tahun lalu.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Mohd Sabri Alwi berkata, sepanjang tahun ini hanya satu kematian disebabkan denggi dilaporkan iaitu membabitkan kanak-kanak di daerah Besut Mei lalu, berbanding 13 kes kematian sepanjang tahun lalu.

Beliau yang juga Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang berkata, Kuala Terengganu mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 67 kes dan diikuti Besut sebanyak 50 kes, Dungun (28), Kemaman (21), Setiu (11) dan Hulu Terengganu sebanyak lapan kes.

"Penurunan bilangan kes sehingga 87.3 peratus itu adalah hasil kerjasama antara Pihak Berkuasa Tempatan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung yang menubuhkan pasukan Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (COMBI).

"Aktiviti gotong royong dilaksanakan secara berkala bersama penduduk, mencari dan memusnahkan kawasan pembiakan nyamuk aedes termasuk sistem pelupusan sampah yang lebih teratur antara faktor tindakan kawalan yang berkesan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran program COMBI di Balai Belia, Kampung Gong Penaga, Pasir Panjang, di Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kesihatan Epidiomiologi daerah Kuala Terengganu, Dr Hazihuhaimin Hashim; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Gong Penaga, Hafsah Md Zain serta Ketua UMNO Cawangan Gong Penaga, Ismail Muhammad.

Mohd Sabri berkata, walaupun kes demam denggi menunjukkan penurunan mendadak, seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik perlu berwaspada kerana trend demam denggi kebiasaannya akan meningkat bermula Oktober sehingga akhir tahun.

Katanya, semua J3K di daerah Kuala Terengganu diminta menubuhkan COMBI untuk membantu Jabatan Kesihatan melaksanakan gotong royong terutamanya menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.

"Kuala Terengganu mempunyai sebanyak 109 J3K dan laporan dari Jabatan Kesihatan daerah mendapati hanya 12 COMBI ditubuhkan.

"Penduduk kampung diminta memberi kerjasama dan menyertai gotong royong terutamanya aktiviti membersih kawasan serta menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes dianjurkan COMBI," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 4:06 PM