XIN YEE muncul juara perseorangan wanita menewaskan rakan sepasukan Shan Zi straight set. -FOTO Kedah BA
XIN YEE muncul juara perseorangan wanita menewaskan rakan sepasukan Shan Zi straight set. -FOTO Kedah BA

Ong Xin Yee mengotakan janjinya apabila merangkul kejayaan berganda di Kejohanan Kebangsaan Bawah 18 Tahun Petronas 2024 yang berlangsung di Alor Star, Kedah.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur yang akan berusia 18 tahun Oktober ini, mengungguli acara perseorangan dan beregu wanita.

Pilihan utama itu menunjukkan dia sememangnya layak memegang status pilihan apabila menepis cabaran rakan sepasukan, Oo Shan Zi 21-8 21-11 dalam masa 35 minit.

Manakala Xin Yee yang bergandingan Lim Zhi Shin, menunjukkan mereka berada di kelas tersendiri biarpun diletakkan sebagai pilihan 3/4 apabila muncul juara beregu wanita.

Tetapi kemenangan itu tidak diraih dengan mudah buat Xin Yee-Zi Shin di mana selepas memenangi set pertama 21-19, lawan Clarissa San Yee Wen-Maisarah Ramdan bangkit di set kedua 21-13 untuk membawa perlawanan ke set penentuan sebelum menang 21-10.

Bagi Maisarah Ramdan, dia menebus kekalahannya dalam acara beregu wanita dengan kejayaan merangkul kejuaraan dalam acara beregu campuran.

Maisarah yang bergandingan bersama Goh Yi Qin mengenepikan cabaran Datu Anif Isaac Datu Asrah-Dania Sofea Zaidi 21-17, 21-17.

Dalam pada itu, Roslie Razeeq Danial muncul juara perseorangan lelaki.

Pemain kelahiran Selangor berusia 18 tahun itu menewaskan Ayu Fu Sheng dalam pertarungan tiga set 21-17, 17-21, 21-8 dalam masa 53 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 8:09 PM