Ahmad Bashah (tiga dari kiri) bersalam dengan Mohd Faiz (tiga dari kanan) di majlis makan malam yang diadakan di Seri Mentaloon . FOTO Amran Hamid
Ahmad Bashah (tiga dari kiri) bersalam dengan Mohd Faiz (tiga dari kanan) di majlis makan malam yang diadakan di Seri Mentaloon . FOTO Amran Hamid
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) memberi insentif RM20,000 kepada pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Mohd Faiz Subri, 29.

Pemberian itu diumumkan Presiden KFA yang juga Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada majlis meraikan kemenangan Mohd Faiz di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon tadi.

Ahmad Bashah berkata, kemenangan Mohd Faiz mengharumkan nama negara dan Kedah kerana dia anak jati negeri ini dan atas itu, KFA bersetuju untuk memberi insentif itu.

Menurutnya, selain itu, bantuan lain yang diperlukan Mohd Faiz juga akan dipertimbangkan kerajaan negeri.

"Saya difahamkan Mohd Faiz masih belum memiliki rumah dan kerajaan negeri akan cuba membantu dengan berbincang bersama anak syarikat kerajaan negeri untuk memberi diskaun pembelian rumah.

"Bantuan itu diharap akan dapat meringankan beban Mohd Faiz," katanya.

Sementara itu, Mohd Faiz mengucapkan terima kasih kepada KFA dan kerajaan negeri di atas insentif diberikan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2017 @ 11:13 PM