GAMBAR kenangan semua atlet Olimpik dan Paralimpik negara. FOTO Yazit Razali
GAMBAR kenangan semua atlet Olimpik dan Paralimpik negara. FOTO Yazit Razali
Saiful Affendy Sapran


BARISAN atlet Olimpik dan Paralimpik, malam tadi, menerima insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) berikutan kejayaan mereka meraih pingat di Rio, Brazil.

Penyampaian insentif disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Dua atlet Paralimpik negara, Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkelfi muncul penerima tertinggi SHAKAM.

Masing-masing menerima insentif berjumlah RM1,050,000 selepas meraih pingat emas di Sukan Paralimpik Rio 2016.

Jumlah itu membabitkan RM1 juta untuk pingat emas serta insentif tambahan RM20,000 untuk rekod baru kejohanan dan RM30,000 bagi rekod dunia.

Abdul Latif serta Muhammad Ziyad, masing-masing beraksi dalam acara lompat jauh dan lontar peluru (F20).

Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi pula menerima insentif RM1,020,000 selepas memenangi pingat emas acara 100 meter (T36) serta tambahan insentif untuk rekod baru kejohanan.

Siti Noor Radiah Ismail yang menyumbang gangsa dalam acara lompat jauh T20 turut menerima RM300,000 dengan insentif tambahan Kementerian Belia dan Sukan.

Sementara itu pemain badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang meraih pingat perak di Sukan Olimpik Rio menerima insentif RM500,000.

Sementara, beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan gandingan terjun 10 meter platform seirama Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong masing-masing menerima RM350,000.

Pemenang pingat gangsa acara keirin, Azizulhasni Awang pula menerima RM300,000.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2016 @ 10:59 PM