Siti Noor Radiah (kiri), Ziyad Zolkefli, Abdul Latif dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi bersama pingat mereka ketika pulang dari Paralimpik Rio 2016. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Siti Noor Radiah (kiri), Ziyad Zolkefli, Abdul Latif dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi bersama pingat mereka ketika pulang dari Paralimpik Rio 2016. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Barisan atlet paralimpik negara mendapat suntikan semangat baru apabila bakal menerima imbuhan tambahan selain daripada Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) sekiranya berjaya membawa pulang emas pada temasya Paralimpik Tokyo dari 24 hingga 5 September ini.

Pemenang pingat emas paralimpik akan menerima imbuhan tambahan bernilai RM100,000 jika meraih emas, RM50,000 perak dan RM30,000 gangsa daripada FWD Takaful.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada sidang media mesyuarat lembaga pengurus Majlis Sukan Negara dan pengumuman sasaran pingat Sukan Olimpik secara maya hari ini.

Reezal menjelaskan, pihak penaja turut mempertimbangkan insentif yang sama kepada barisan jurulatih sebagai suntikan semangat untuk mereka berjuang ke Tokyo nanti.

"Kami berbesar hati untuk memaklumkan satu kata sepakat dicapai dengan FWD Takaful yang bersetuju meneruskan tajaan bagi pembiayaan pembangunan sukan para negara.

"Ia membabitkan nilai tajaan wang tunai bernilai RM5 juta untuk tahun 2020 dan 2021 termasuk membantu persediaan atlet ke temasya Olimpik dan kejohanan lain," katanya.

Bagi skim Shakam sedia ada, setiap atlet yang berjaya meraih emas mereka akan menerima RM1 juta, RM300,000 perak dan RM100,000 gangsa sejak 2012.

Untuk rekod hingga kini seramai 13 atlet negara menerima skim ini hasil kejayaan mereka di temasya Olimpik dan Paralimpik.

Pencapaian gemilang negara adalah lima tahun lalu di temasya Paralimpik Rio apabila membawa pulang tiga emas menerusi Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly dan satu gangsa, Siti Noor Radiah Ismail, lompat jauh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 7:07 PM