AHMAD Shuhaimy dan Suhaili menunjukkan dua produk terbaru syarikat mereka.
AHMAD Shuhaimy dan Suhaili menunjukkan dua produk terbaru syarikat mereka.

Pada permulaan pembabitannya 10 tahun lalu, beliau hanya menjual buah durian belanda yang dikutip daripada pokok terbiar di desa kelahirannya, Kampung Mampas Kecil, Terachi, Kuala Pilah.

Berikutan sambutan diterima, Ahmad Suhaimy Suli, 38, dan isteri Suhaili Mohd Sidek, 40, mengorak langkah menubuhkan Annona Herbs Industries & Marketing (Annona Herbs) bagi meluaskan aktiviti perniagaannya termasuk memulihkan tanah terbiar milik ahli keluarga.

“Buah durian belanda terus mendapat sambutan walaupun harganya agak tinggi. Saya tidak menunggu lama lalu terus mengusahakan tanaman itu di kampung.

“Selepas itu, saya dapati buah ini juga boleh diproses sebagai jus manakala daunnya boleh dibuat teh. Saya cuba mengkormersialkannya kerana yakin beberapa negara luar mengiktiraf produk berasaskan durian belanda,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Ahmad Suhaimy berkata, durian belanda boleh mengeluarkan hasil ketika berusia satu setengah tahun bergantung kepada tahap pembesarannya.

Berikutan permintaan terus meningkat, dia berusaha menambah kawasan tanaman durian belanda bagi memastikan bekalan tidak putus dengan menyewa dua bidang tanah seluas dua hektar di Senaling, Kuala Pilah.

Dia kemudian mengeluarkan beberapa produk lain termasuk teh daun durian belanda, jus durian belanda, kopi durian belanda, kapsul, stemcell selain isi durian belanda sebagai produk sejuk beku bagi keperluan peniaga kecil.

Pihaknya mendapat kerjasama Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi mengeluarkan produk sampingan terbabit.

Katanya, teh daun durian belanda bukan saja dipasarkan di dalam negara, malah ke rantau Timur Tengah, Brunei, Russia, China dan Singapura yang mencecah sehingga 10,000 kotak sebulan.

“Jus durian belanda pula dijual untuk pasaran tempatan mencecah 10,000 botol sebulan dan isi durian belanda sejuk beku pula 10 tan sebulan. Saya menyasarkan untuk memasarkan semua produk ini sehingga 100,000 unit menjelang pertengahan tahun depan,” katanya.

Katanya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri dan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan banyak membantu terutama memberi ruang kepadanya memasarkan produk itu seperti di pasar tani, karnival usahawan dan pameran bersaiz besar seperti Pameran Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).

Usahawan lulusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu berkata, pihaknya turut membuka dua kios di Putrajaya dan Senawang.

Ketika ini harga buah durian belanda ialah antara RM10 hingga RM15 sekilogram, namun difahamkan Singapura menjualnya sehingga lebih RM30 sekilogram.

“Alhamdulillah, banyak permintaan diterima termasuk dari Sabah dan Sarawak dan saya melantik beberapa stokis, pengedar dan ejen pemasaran di beberapa lokasi seluruh negara bagi memastikan pengguna mudah mendapatkan produk ini,” katanya.

Bapa kepada dua anak berusia lima dan 10 tahun itu berkata, dalam memastikan kejayaannya dapat dikongsi, beliau menyediakan pakej pembukaan ladang baru kepada pemilik tanah yang berminat.

Pemilik tanah hanya perlu menyediakan kawasan tanaman dan modal RM10,000 untuk ditanam durian belanda.

Katanya, pihaknya akan membantu menanam benih, mengawal pembesaran dan pembajaan selain memberi khidmat nasihat sehingga pokok itu mengeluarkan hasil.

“Saya akan membeli buah durian belanda berkenaan daripada pemilik tanah mengikut harga ladang iaitu RM7 sekilogram.

“Setakat ini 10 pemilik tanah di Negeri Sembilan, Pahang dan Melaka sudah menyertai skim ini serta ada antara mereka sudah mendapat hasil,” katanya.

Ahmad Suhaimy berkata, usahanya membantu pengusaha lain terutama penduduk luar bandar menjana ekonomi mendorong Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Negeri Sembilan menyalurkan bantuan RM100,000 dalam bentuk peralatan kilang membuat teh durian belanda.

Menurutnya, bantuan seperti itu sememangnya ditunggu-tunggu kerana mampu membantunya terus mengorak langkah memantapkan aktiviti perniagaan kerana sukar menyediakan dana besar.

“Bantuan UPEN membakar semangat saya dan isteri untuk terus berusaha memajukan industri ini terutama mengeluarkan produk berkualiti dan memenuhi kehendak pasaran,” katanya. - Mohd Amin Jalil

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 5:51 AM