Ony menunjukkan rangkaian produk berasaskan durian belanda.
Ony menunjukkan rangkaian produk berasaskan durian belanda.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: MOS Nutraceutical Sdn Bhd menyasarkan jualan 25,000 unit produk barunya berasaskan durian belanda tahun ini apabila disokong oleh peluasan pasarannya ke Indonesia, Brunei dan Singapura.

Pengarah Urusannya, Ony Nurhusni Mahad Nor berkata, pihaknya percaya jumlah itu dapat dicapai menerusi 500 rangkaian pengedarnya termasuk farmasi yang dijangka meningkat sekali ganda menjelang akhir tahun ini.

Katanya, menerusi produk Jus Annona yang dihasilkan dengan pembungkusan baru iaitu dalam bentuk sachet juga dijangka memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan dalam dan luar negara.

“Kami mempunyai pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di bawah Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi memberi tumpuan dalam penghasilan produk kesihatan berasaskan durian belanda dan tahun ini, kami akan mengeluarkan beberapa produk baru antaranya dalam bentuk roll-on atau losen untuk mengurangkan bengkak pada sendi, lutut serta otot.

“Syarikat juga dalam usaha menembusi pasaran global menerusi sistem pemasaran digital dan kami yakin produk Jus Annona dapat menerokai seluruh pasaran dunia dalam tempoh tiga tahun,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, sebagai syarikat pertama yang memfokus kepada produk kesihatan menggunakan durian belanda, pihaknya mempelawa orang ramai yang berminat menjadi usahawan menambah pendapatan.

Ony berkata, untuk menjadi ejen, modal diperlukan hanya RM350, manakala margin keuntungan pula sebanyak 30 peratus dan pihaknya akan memberi bimbingan untuk memulakan perniagaan.

Beliau berkata, Jus Annona adalah makanan tambahan kesihatan berfungsi sebagai terapi alternatif untuk mengatasi atau mengurangkan pelbagai masalah kesihatan termasuk kanser.

“Setakat ini, syarikat mengeluarkan produk Jus Annona dan teh durian belanda dengan harga bermula dari RM59 hingga RM188. Untuk maklumat lanjut boleh melayari www.annonaofficial.com.

“Bagi perancangan jangka panjang, kami akan cuba mengeluarkan pelbagai produk daripada suplemen sehingga kepada kosmetik berasaskan durian belanda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 6:29 AM