ROSYAM menunjukkan durian belanda yang dihasilkannya.
ROSYAM menunjukkan durian belanda yang dihasilkannya.
Mohamad Hussin

“Jangan cepat putus asa... saya juga pernah dua kali gagal dalam bidang pertanian.

“Saya akui ia disebabkan ‘kebodohan’ sendiri kerana kurang mencari ilmu dalam bidang ini. Ia tidak semudah disangka,” kata penerbit dan pelakon popular, Datuk Rosyam Nor, 51.

Kini selepas beberapa tahun mengharungi pahit getir, aktor itu bangkit semula dan mengusahakan projek tanaman nangka madu J33 dan durian belanda.

Berkeluasan 70 hektar, ladang yang dinamakan Suhan Movies sempena nama syarikatnya iaitu Suhan Movies & Trading Sdn Bhd itu diharap memberi inspirasi kepada golongan muda menceburi bidang berkenaan.

“Saya bangkit semula dan mendapatkan maklumat serta pandangan daripada mereka yang pakar dalam bidang ini. Selain modal, ilmu pengetahuan sangat penting bagi sesiapa saja yang ingin memulakan perniagaan,” katanya.

Menceritakan pengalaman pada awal pembabitan, Rosyam berkata, pada penghujung 2009, dia meneruskan hasrat untuk kembali ke dunia pertanian walaupun pernah gagal sebelum ini.

ZAINAL menanam pokok durian Musang King di ladang Rosyam.
ZAINAL menanam pokok durian Musang King di ladang Rosyam.

“Saya jadikan pengalaman itu sebagai iktibar dan jangan sesekali menoleh ke belakang kerana ia akan menjatuhkan semangat kita.

“Saya membuat kajian dan mendapati potensi nangka madu J33 dan durian belanda boleh pergi jauh lalu mendapatkan maklumat serta mengemukakan permohonan mendapatkan tanah.

“Pada mulanya, saya diberi 40 hektar tanah namun selepas beberapa tahun mengusahakannya, saya cuba memohon tanah di kawasan sama. Alhamdulillah, saya diberi lagi tanah seluas 30 hektar untuk mengusahakan tanaman sama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui di ladangnya di Tapak Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lanchang, Temerloh, Pahang, baru-baru ini.

KAWASAN tadahan air untuk kegunaan ladang.
KAWASAN tadahan air untuk kegunaan ladang.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Tan Sri Zainal Dahalan dan Pengarah LPP Negeri Pahang Datuk Sawaluddin Ahmad.

Rosyam yang juga ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Temerloh, berkata selepas beberapa tahun mencurah keringat beliau akhirnya berjaya menghasilkan sebanyak 10,800 pokok durian belanda dan 6,000 nangka madu J33.

“Walaupun tanaman yang diusahakan ini mengeluarkan hasil antara dua hingga tiga tahun, ia tidak mematahkan semangat saya kerana percaya rezeki Allah itu luas.

“Saya sudah melabur jutaan ringgit namun belum mendapat pulangan semula,” katanya yang turut menanam kira-kira 200 pokok durian Musang King.

TETAMU menikmati buah-buahan di ladang Rosyam.
TETAMU menikmati buah-buahan di ladang Rosyam.

Dulu beliau menjual nangka madu J33 mengikut biji namun tidak menguntungkan lalu diubah dalam bentuk pek yang dijual di pasar raya.

“Sementara itu, durian belanda pula saya lebih fokus kepada daunnya kerana ia mempunyai penawar barah. Daunnya diproses menjadi teh dan insya-Allah, saya bakal melancarkan produk teh durian belanda ini pada Mac depan,” katanya.

Secara berseloroh, beliau turut menceritakan pengalaman ketika membuat permohonan pinjaman bank namun ditolak pihak institusi kewangan.

“Pegawai bank terbabit seolah-olah tidak yakin artis boleh menjalankan perniagaan pertanian. Adakah mungkin golongan artis tidak mampu untuk membayar balik pinjaman?

NANGKA madu J33.
NANGKA madu J33.

“Sudah tiba masanya golongan muda memandang tinggi bidang pertanian ini. Ramai usahawan berjaya terdiri daripada mereka yang mengusahakan bidang pertanian.

“Saya sendiri mengakui hasil daripada bidang pertanian ini sedikit sebanyak membantu saya dalam mengembangkan perniagaan yang lain.

“Hasilnya begitu lumayan dan saya amat berpuas hati dapat berbakti kepada tanah,” katanya.

Menurutnya, melalui perkongsian bersama Agropreneur Muda, beliau berharap lebih ramai golongan muda mentransformasi diri menjadi peladang moden dan menanam visi untuk mengubah amalan pertanian pada hari ini kepada pertanian moden.

ROSYAM menunjukkan produk yang dihasilkan berasaskan durian belanda.
ROSYAM menunjukkan produk yang dihasilkan berasaskan durian belanda.

“Sekiranya bidang ini diterokai golongan muda dengan acuan yang luar daripada kebiasaan amalan konvensional, bidang pertanian mampu menjadi bidang menarik.

“Tambahan lagi dengan adanya pelbagai program yang dianjurkan jabatan dan agensi kerajaan selain bantuan kewangan dan perkhidmatan diberikan, maka memudahkan lagi pengeluaran pertanian,” katanya.

Rosyam juga bercadang menjadikan kawasan itu sebagai destinasi pelancongan agro bagi memberi peluang kepada pengunjung menikmati buah-buahan tempatan.

PRODUK teh yang berasaskan durian belanda.
PRODUK teh yang berasaskan durian belanda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 12:36 PM