SITI Aisyah menunjukkan sebahagian jus buah-buahan yang sedia untuk dijual.
SITI Aisyah menunjukkan sebahagian jus buah-buahan yang sedia untuk dijual.
Oleh Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Siapa sangka bermula berniaga di pasar malam dengan hanya sekitar 50 botol air mangga dijual sehari, kini mampu membina syarikat pengeluar jus buah-buahan dengan jualan sehingga 100,000 botol sebulan.

Ayaq World Sdn Bhd pada asalnya dikenali dengan jenama Ayaq Mangga memulakan operasi dengan menawarkan jus mangga namun kini terdapat sembilan perisa berbeza seperti durian belanda, nanas, kedondong, khatira, teh hijau, mata kucing dan jagung.

Pengarah Urusan Kumpulan Ayaq World, Siti Aisyah Kamaruddin berkata, jus mangga adalah yang paling laris di antara semua perisa yang ditawarkan.

"Dari dulu lagi perisa mangga tetap menjadi pilihan namun ada masanya stok buah mangga tidak mencukupi menyebabkan kami turut menawarkan jus buah lain seperti durian belanda dan teh hijau," katanya kepada Bisnes Metro.

Katanya, nama Ayaq Mangga ditukarkan kepada Ayaq World pada tahun 2017 bagi menepati kepelbagaian jenis minuman yang ditawarkan dan tidak lagi tertumpu kepada air mangga saja.

Produk berkenaan boleh didapati pada harga hanya RM10 sebotol untuk semua perisa dan boleh bertahan selama enam bulan pada suhu bilik.

Bermula dengan modal RM500, Siti Aisyah berkata, mereka menyasarkan untuk meletakkan produk mereka di 297 cawangan Family Mart dan Petronas di seluruh Malaysia.

"Saya memilih Family Mart kerana di sana, kita boleh meletakkan harga yang berpatutan dan tidak terlalu mahal.

"Kami turut mempunyai perancangan untuk mengembangkan perniagaan ke luar negara dan pernah mendapat tawaran ke China, Singapura dan Brunei, namun masih belum bersedia pada masa ini," katanya.

Berkongsi keadaan perniagaan ketika pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu, Siti Aisyah melihat krisis yang dialami adalah satu peluang kepada syarikat.

"Purata jualan Ayaq World ketika PKP tahun lalu meningkat 10 kali ganda sehingga kami mampu untuk membeli kilang secara tunai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 7:01 AM