Ramai bakat baru di Bollywood, tetapi nampaknya yang paling cemerlang, digilai ramai dan menjadi aktor kegemaran pengarah ialah Ranbir Kapoor.

Selain Shah Rukh Khan, Salman Khan dan Aamir Khan, Ranbir adalah wajah baru yang begitu mendapat perhatian ramai.

Dalam beberapa tahun ini, ramai aktor yang tampil dengan pakej menarik di Bollywood, namun tidak ramai yang mampu mengumpul ramai penonton ke pawagam selain Ranbir.

‘Kuasa bintang’ yang ada pada Shah Rukh Khan, Salman dan Aamir terus mencatatkan filem mereka pada tahap ‘box office’. Dalam pada itu produser dan pengarah berusaha memberi peluang kepada pelakon baru, namun nampaknya mereka masih terpaksa bergantung kepada ‘tiga Khan’ itu untuk melariskan jualan tiket di pawagam.

Menurut sumber, hanya filem Ranbir yang mendapat perhatian dan kritikan positif.

“Dia membuktikan yang lakonannya hebat dan disukai penonton. Filem terbaru lakonannya, Roy mendapat ulasan yang cukup baik dan menjadi filem ‘box office’. Dalam masa enam hari tayangan filem itu berjaya mengutip lebih RM20 juta.

“Walaupun filem itu dilakonkan Arjun Rampal dan Jacqueline Fernandez, tetapi pastinya Ranbir yang menarik paling ramai penonton ke pawagam,” katanya.

Ranbir sebenarnya tidak ‘turun’ mempromoskan filem itu, kalau dia datang pun hanya pada acara tertentu saja. Bagaimanapun, dia sangat bernasib baik dan ada meramalkan dia bakal mempunyai ‘star power’ yang mempunyai magis menarik penonton ke pawagam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 9:35 AM