SUM Chang Keong berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh. FOTO Yahya Zain
SUM Chang Keong berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh. FOTO Yahya Zain
Farah Suhaidah Othman


Ipoh: Wanita cedera selepas diserang lelaki tidak dikenali dalam kejadian cubaan samun di Taman Perak, Bercham, di sini, semalam.

Dalam kejadian 12.15 tengah malam itu, mangsa berusia 21 tahun yang bekerja sebagai pekerja am cedera di bahu kiri, siku dan peha selepas terjatuh daripada motosikal ditungganginya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum suspek menghampirinya dan menarik beg sandangnya menyebabkannya terjatuh dari motosikal.

Katanya, suspek yang menyedari mangsa terjatuh kemudiannya melarikan diri tanpa sempat melarikan beg sandang milik mangsa.

"Orang awam yang menyedari keadaan itu kemudiannya menghantar mangsa ke HRPB (Hospital Raja Permaisuri Bainun) untuk menerima rawatan lanjut dan mangsa tidak dapat mengecam suspek kerana pengsan selepas terjatuh dari motosikal.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan suspek dan kejadian itu adalah kes samun keempat berlaku pada bulan ini di kawasan berkenaan," katanya yang ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di Balai Polis Pasir Putih di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 12:00 PM