GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Dua lelaki dipercayai terbabit dalam kes cubaan samun seorang wanita berhampiran Pasar Sungai Ara, Bayan Lepas, di sini, pada 6 Januari lalu berjaya ditahan semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan AA Anbalagan berkata, dua suspek berusia 18 dan 20 tahun itu ditahan di kawasan Bayan Lepas.

Menurutnya, kedua-dua suspek dilaporkan cuba meragut beg tangan mangsa dalam kejadian jam 1.30 tengah hari, 6 Januari lalu.

"Mangsa yang sedang menunggang motosikal sendirian dihampiri dua suspek yang juga menggunakan motosikal.

"Suspek menarik beg tangan yang disilang di badan mangsa menyebabkan wanita itu hilang kawalan sebelum terjatuh. Beg mangsa berjaya diselamatkan namun suspek melarikan diri. Mangsa mengalami kecederaan di kaki dan tangan akibat terjatuh daripada motosikal," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Anbalagan berkata, penahanan suspek turut menemukan motosikal jenis Honda EX5 yang dilaporkan hilang pada 11 Oktober tahun lalu di Bayan Lepas dan dipercayai digunakan semasa aktiviti samun berkenaan.

Katanya, kedua-dua suspek tidak bekerja serta mempunyai rekod jenayah dan dadah serta dipercayai turut terbabit dengan beberapa kes jenayah di daerah Barat Daya dan Timur Laut.

"Polis masih mengesan seorang lagi suspek bagi membantu siasatan. Kumpulan ini mensasarkan warga tempatan yang berusia atau warga asing yang bersendirian di kawasan sunyi dan jauh daripada tempat tumpuan ramai," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek direman tiga hari sehingga 10 Januari ini membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 8:18 PM