GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Apendy Issahak


DUA lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian suri rumah ditemui dibunuh dengan leher dijerut tali nilon dalam kejadian samun di Taman Permai, Ipoh, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, suspek berusia 17 dan 24 tahun ditahan pada 10 malam di sebuah rumah di Taman Lapangan Permai, Ipoh iaitu enam jam selepas kejadian.

Katanya, dalam tangkapan itu polis turut merampas beberapa barangan termasuk barang milik mangsa yang disamun.

“Polis menerima maklumat mengenai mayat wanita ditemui di sebuah rumah dalam keadaan dijerut dan diikat di jeriji tingkap bilik utama pada 4.20 Isnin lalu.

“Berikutan itu, satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengesan suspek dan hasil maklumat risikan berjaya menahan dua lelaki beberapa jam kemudian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai dua rekod jenayah membabitkan kes curi motosikal.

“Serbuan turut menemui beberapa barangan seperti satu rantai dan cincin berwarna keemasan, empat telefon bimbit, sebuah beg silang, satu topi keledar, beg duit dan sebuah motosikal Modenas Dinamik warna putih.

“Hasil siasatan lanjut, suspek mengaku menggadaikan barang kemas milik mangsa di sebuah kedai pajak gadai dengan nilai RM3,000 dan polis kemudian menahan seorang lelaki serta merampas semula barang kemas itu,” katanya.

Menurutnya, barang yang dirampas daripada kedai pajak gadai berkenaan adalah satu resit surat pajak gadai atas nama seorang daripada suspek, satu rantai leher, tiga loket emas dan satu subang emas.

“Dengan tertangkapnya dua suspek serta rampasan yang dibuat, polis berjaya menyelesaikan kes bunuh berkenaan dalam tempoh 24 jam.

“Motif kejadian bunuh itu dipercayai akibat perasaan tidak puas hati suspek terhadap mangsa.

“Kedua-dua suspek direman seminggu bermula semalam hingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pada Isnin lalu, mangsa T Iswari, 34, ditemui mati dalam sebuah rumah dan ketika kejadian hanya mangsa dan bapa mentuanya yang mengalami masalah pendengaran berada di kediaman berkenaan.

Siasatan polis mendapati mangsa disamun dua lelaki dipercayai mempunyai hubungan persaudaraan yang melarikan barang kemasnya dianggarkan bernilai antara RM2,000 dan RM3,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 11:51 AM