Ekhwan Haque Fazlul Haque


DITENDANG sebelum disamun. Itu tindakan tidak berhati perut lelaki ketika menyamun wanita di persimpangan Jalan Kampung Maang, Padawan, di Kuching, Sabtu lalu.

Dalam kejadian 9.40 pagi itu, mangsa yang berusia 50 tahun bersendirian pulang ke rumahnya selepas membeli barang keperluan di kedai di Pekan Tapah menaiki motosikal.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, mangsa menunggang Honda EX5 itu tidak menyedari pergerakannya diperhatikan seorang lelaki.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek yang turut menaiki motosikal jenis sama menghampiri mangsa sebelum menendangnya.

“Tindakan suspek itu menyebabkan motosikal yang ditunggangi mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh di bahu jalan.

“Kesempatan itu digunakan suspek untuk menyamun wang tunai RM200, cincin dan rantai emas selain melarikan beg mengandungi dokumen peribadi sebelum melarikan diri,” katanya.

Aidil berkata, mangsa kemudiannya bangkit dalam keadaan sakit sebelum bergegas membuat laporan polis di Balai Polis Tapah untuk tindakan selanjutnya daripada pihak berkuasa.

Katanya, polis kini sedang giat memburu suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 1:18 PM