WANITA dan anaknya cedera selepas terjatuh dari motosikal ketika mengejar peragut. FOTO ihsan pembaca
WANITA dan anaknya cedera selepas terjatuh dari motosikal ketika mengejar peragut. FOTO ihsan pembaca
Mohd Hafizee Mohd Arop


WANITA dan anaknya cedera selepas terjatuh dari motosikal ditungganginya ketika mengejar peragut di Taman Chemor Impian, Ipoh, semalam.

Dalam kejadian 8.43 pagi itu, mangsa, 49, bersama anaknya, 3, dipercayai baru pulang dari mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tanah Hitam, Chemor.

Difahamkan, suspek lelaki yang menaiki motosikal Yamaha Lagenda berwana merah mengambil beg tangan mangsa yang diletakkan di dalam raga ketika membelok di lampu isyarat berkenaan sebelum memecut motosikalnya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, mangsa yang berang dengan tindakan suspek itu kemudiannya mengejarnya sebelum dipercayai tidak dapat mengawal motosikal dan terjatuh ketika melalui jalan berpasir.

“Mangsa kemudiannya menerima rawatan di HRPB (Hospital Raja Permaisuri Bainun) selepas mengalami luka di lutut, kaki dan juga siku manakala anaknya berusia tiga tahun patah bahu serta luka di kepala.

“Mangsa hanya perasan motosikal dinaiki suspek iaitu Yamaha Lagenda berwarna merah dan tidak mengingati nombor pendaftarannya serta mengecam wajah suspek kerana situasi ketika itu cemas termasuk suspek memakai topi keledar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Ali berkata, akibat kejadian itu mangsa kehilangan barangan peribadinya yang diletakkan di dalam beg tangannya iaitu kad pengenalan, kad bank serta wang tunai RM200.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan polis sedang menjalankan pemantauan bagi mendapatkan maklumat suspek yang dipercayai melakukankegiatan itu.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati lokasi berkenaan tiada kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada saksi yang melihat kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 12:13 PM