Ampang: Seorang lelaki berusia 47 tahun cedera manakala isterinya patah kaki kanan selepas diseret seorang peragut ketika sedang menunggang motosikal.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.10 petang kelmarin, pasangan suami isteri itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka sebelum diserang berhampiran persimpangan lampu isyarat Datuk Ahmad Razali di sini.

Sumber polis berkata, mangsa yang berhenti di persimpangan lampu isyarat bagaimanapun dihampiri suspek yang turut menaiki motosikal.

“Suspek berusia 20-an kemudian cuba meragut beg tangan milik isteri mangsa yang membonceng motosikal.

“Mangsa wanita itu bagaimanapun enggan melepaskan beg tangan miliknya menyebabkan dia hilang imbangan sebelum terjatuh,” katanya.

Dia berkata, peragut terbabit turut terjatuh dari motosikal sebelum cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun orang awam yang melihat kejadian itu bertindak mengejar suspek sebelum berjaya memberkasnya.

“Suspek dilapor cedera dan tidak sedarkan diri selepas dipukul orang awam yang tidak dapat menahan marah susulan kejadian itu,” katanya.

Sumber itu berkata, pasangan suami isteri itu dan suspek yang cedera dibawa ke Hospital Ampang (HA) di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 5:35 AM