PESERTA Kem Bakat Badminton KBS Negeri Selangor.
PESERTA Kem Bakat Badminton KBS Negeri Selangor.

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negara mencapai kata sepakat untuk meneruskan Program Kem Bakat Badminton KBS pada tahun ini.

Ini berikutan program yang diperkenalkan sejak 1998 menerima sambutan luar biasa dalam kalangan bakat muda.

Menurut Pengarah Cawangan Penggalakan dan Pembangunan Sukan KBS Syamsul Tahrin Mohd Tahir, sebagai permulaan, program pertama sudah diadakan di Pusat Sukan UiTM Shah Alam bagi peringkat Negeri Selangor baru-baru ini.

“Kira-kira 15 lokasi terpilih di seluruh negara dengan Selangor menjadi destinasi pertama program diikuti negeri-negeri lain termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Bagi bakat muda yang berminat menyertai program ini mereka harus memenuhi syarat ditetapkan KBS dengan memperoleh info menerusi Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri berhampiran,” katanya.

Program ini dianjurkan KBS, Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Kelab Badminton Nusa Mahsuri dan Institut Sukan Negara.

Syamsul Tahrin menambah, pihaknya menaruh keyakinan program yang mendedahkan teknik permainan badminton yang betul di bawah kendalian legenda badminton negara, Datuk Dr Misbun Sidek mampu memberi anjakan pradigma kepada bakat baru untuk meningkatkan prestasi ke tahap lebih baik.

“Program ini diharap juga memberi impak positif terhadap pembangunan sukan badminton di peringkat akar umbi.

“Di Selangor contohnya, saya teruja melihat kesungguhan dan komitmen yang dipamerkan mereka dalam setiap sesi latihan meskipun baru pertama kali menyertai program ini, katanya.

Maklumat lanjut, layari media sosial Facebook Kem Bakat Badminton KBS dan blog https://kembakatbadmintonkbs.blogspot.my/.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 11:07 AM