JALANI harap skuad negara lakukan persiapan rapi. -Foto AZIAH AZMEE
JALANI harap skuad negara lakukan persiapan rapi. -Foto AZIAH AZMEE
Ferzalfie Fauzi


BEKAS pakar beregu negara, Datuk Seri Jalani Sidek meminta skuad negara melakukan persiapan rapi menjelang pusingan kelayakan Piala Thomas di Alor Setar, Kedah dari 6 hingga 11 Februari depan.

Menurutnya, walaupun memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri, skuad negara tidak boleh mengambil mudah pusingan kelayakan itu yang diadakan sempena Kejohanan Berpasukan Asia susulan peningkatan prestasi yang diperagakan pemain Hong Kong, Taiwan dan Thailand sejak akhir-akhir ini.

“Kita juga harus membariskan pemain terbaik kerana dari situ kita mampu mengukur tahap kemampuan pasukan apabila sudah melayakkan diri sama ada mampu pergi lebih jauh hingga ke separuh akhir atau final,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutup Kem Bakat Badminton Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2017 di Kompleks Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kampung Pandan hari ini.

Jalani berkata, analisa juga perlu dilakukan semula selepas gandingan utama beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong digandingkan semula tahun depan.

KETUA Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali bersama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Nik Abd Kadir Nik Mohammad bersama kontinjen dari pelbagai negeri pada Perasmian Penutupan Kem Bakat Badminton KBS 2017 di Kompleks Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan. -Foto AZIAH AZMEE
KETUA Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali bersama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Nik Abd Kadir Nik Mohammad bersama kontinjen dari pelbagai negeri pada Perasmian Penutupan Kem Bakat Badminton KBS 2017 di Kompleks Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan. -Foto AZIAH AZMEE

“Dari situ kita akan dapat lihat bagaimana Cheah Soon Kit (ketua jurulatih beregu lelaki) melakar strategi siapa yang akan diletakkan sebagai pasangan kedua dan siapa pula pemain simpanan dalam skuad berkenaan.

“Memang sebelum ini V Shem-Wee Kiong ada masalah dan dipisahkan, namun mereka digandingkan semula demi negara. Saya bangga dengan kesudian mereka namun kita perlu mengkaji emosi kedua-duanya sama ada ikhlas atau terpaksa digandingkan semula,” katanya.

Jelas Jalani, semua perkara itu harus diperhalusi sebelum skuad negara beraksi di pusingan kelayakan itu.

“Bagi pemain muda perseorangan lelaki pula, saya harapkan mereka berjuang sebaik mungkin jika diberi peluang berada dalam skuad. Mereka perlu tahu Piala Thomas adalah kejohanan berprestij dan negara sentiasa mengharapkan persembahan terbaik daripada mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 7:02 PM