HANNAH ketika merasmikan program hari ini.
HANNAH ketika merasmikan program hari ini.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jurulatih negara hari ini berpeluang untuk menimba ilmu pakar daripada negara matahari terbit, Jepun.

Program 'High Performance Coach Education Series 2024' adalah anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Akademi Kejurulatihan Kebangsaan dan Institut Sukan Negara (ISN).

Program empat hari itu membabitkan jurulatih di bawah Program Podium, Para, Pelapis Kebangsaan dan Pelapis Negeri ini dikendalikan oleh pakar daripada Nippon Sport Science University (NSSU) Jepun, diketuai Professor Masamitsu Ito, Pengarah Akademi Pembangunan Kejurulatihan NSSU.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang hadir merasmikan program berkata inisiatif terbaru itu membuktikan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serius untuk memperkasakan bidang kejurulatihan menerusi budaya latihan prestasi tinggi (high performance culture in training) supaya selari dengan negara kuasa sukan di Benua Asia.

"Saya menyeru semua jurulatih dan pengurus sukan supaya menjadi ejen perubahan, "change agent" kerana budaya sukan prestasi tinggi lebih mapan adalah sesuatu amat kita perlukan ketika ini.

"Banyak boleh kita pelajari hasil jalinan kerjasama dengan NSSU ini kerana sukan prestasi tinggi sudah sebati dengan penggiat sukan di Jepun yang sentiasa meletakkan sasaran pencapaian tertinggi ketika mula melatih bakat-bakat muda di peringkat awal," katanya.

Lima jurulatih tempatan daripada siri kursus kali ini bakal dipilih untuk menimba ilmu secara lebih mendalam mengenai budaya latihan prestasi tinggi secara tindikan (attachment) di universiti sains sukan terulung di Jepun itu yang mempunyai rekod menyumbang 41 pingat emas keseluruhan kepada kontinjen Jepun daripada temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 4:20 PM