PESERTA  bergambar selepas menerima sijil penyertaan   di Dewan Kompleks Belia dan Sukan Pahang. - FOTO Mohd Rafi Mamat
PESERTA bergambar selepas menerima sijil penyertaan di Dewan Kompleks Belia dan Sukan Pahang. - FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


SERAMAI 70 peserta berumur tujuh hingga 12 tahun dari seluruh Pahang menyertai Kem Bakat Badminton Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2019 di Dewan Kompleks Belia dan Sukan Pahang, Kuantan hari ini.

Program dengan kerjasama Kelab Badminton Nusa Mahsuri dan Kelab Badminton Layaran itu diadakan selama tiga hari bertujuan memberi pendedahan selain menambah kemahiran dalam kalangan pemain muda.

Pegawai Penggalakkan dan Pembangunan Sukan II (Penyelaras Program) Pahang, Nik Zuriani Nik Mohamad Mokhtar berkata, sambutan terhadap kem badminton kali ini begitu menggalakan apabila peserta datang dari hampir semua daerah.

Katanya, sokongan ibu bapa peserta berjaya melancarkan lagi program yang diadakan secara amali dan praktikal itu.

Terdapat penjaga menemani anak mereka sepanjang program. Menurutnya, kehadiran bekas jaguh badminton negara Datuk Seri Mohd Jalani Datuk Sidek dan adiknya Abdul Rahman dan beberapa pemain muda kebangsaan menambahkan lagi keceriaan kem badminton.

"Saya berharap kem badminton diadakan dapat melahirkan lebih ramai pemain berbakat dan berkualiti seterusnya mampu membawa cabaran Pahang di peringkat kebangsaan suatu hari nanti.

"Bakat yang pada kanak-kanak perlu digilap secara berterusan bagi memastikan kebolehan dimiliki dapat dikembangkan seterusnya mencipta kejayaan dalam sukan berkenaan," katanya. Majlis penutupan kem badminton KBS 2019 disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu Lee Chean Chung di Dewan Kompleks Belia dan Sukan Pahang.

Nik Zuriani berkata, selain badminton pihaknya akan mengadakan kem pembangunan dalam beberapa sukan utama lain secara berperingkat di beberapa daerah di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 6:06 PM