V P Shanmugam (tengah) bersama Misbun dan peserta Kem Bakat Badminton Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Peringkat Zon Selatan di Kompleks Komuniti Paya Rumput. FOTO Nazri Abu Bakar
V P Shanmugam (tengah) bersama Misbun dan peserta Kem Bakat Badminton Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Peringkat Zon Selatan di Kompleks Komuniti Paya Rumput. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Legenda badminton negara Datuk Misbun Sidek mencurahkan ilmu kepada peserta Kem Bakat Badminton Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Peringkat Zon Selatan di Kompleks Komuniti Sukan Hang Jebat, Paya Rumput selama tiga hari berakhir hari ini.

Exco Belia dan Sukan Melaka, V P Shanmugam berkata, peserta yang terdiri daripada pemain berbakat akar umbi bertuah mendapat didikan dan tunjuk ajar Misbun dan adiknya, Datuk Seri Mohd Jailani Sidek serta Rahman Sidek selain barisan kejurulatihan Nusa Mahsuri.

Katanya, peserta turut didedahkan asas pengenalan sukan badminton termasuk teknik permainan secara formal, pukulan asas, teknik servis dan latihan pergerakan kaki.

Menurutnya, program bertujuan untuk menanam minat anak-anak muda dalam sukan badminton bagi meningkatkan usaha pembudayaan sukan dan mencungkil bakat-bakat baru yang boleh di ketengahkan ke peringkat antarabangsa.

"Program ini salah satu asas sukan bagi mendedahkan teknik-teknik dan skil permainan selain menanam minat yang lebih mendalam dengan suntikan lagenda negara yang mampu menjadi ikutan kepada peserta.

"Apa yang penting pembentukan pemain muda mampu menjadi kesinambungan kepada negara dalam melakar kejayaan di pentas dunia seperti mana yang kita miliki hari ini," katanya.

Hadir sama Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Khairul Adri Datuk Rosli serta ibu bapa peserta.

Misbun pula berkata, kem bakat berkenaan amat penting dalam mencungkil kebolehan peserta kerana ia akan didedahkan dan diteruskan pula pada peringkat sekolah, daerah dan negeri.

Beliau berkata sukan bertaraf dunia dan Olimpik itu perlu terus di beri tumpuan dalam merencana kejayaan besar kepada negara pada masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 2:45 PM