Khairy ketika sidang media selepas perjumpaan dengan atlet paralimpik hari ini. FOTO HASRIYASYAH SABUDIN
Khairy ketika sidang media selepas perjumpaan dengan atlet paralimpik hari ini. FOTO HASRIYASYAH SABUDIN
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Atlet paralimpik negara yang meraih pingat di Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro akan menerima ganjaran dan insentif yang sama dengan atlet normal.

Perkara itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar semasa mengadakan perjumpaan bersama atlet paralimpik hari ini.

Terbaru Khairy mengumumkan menerusi Skim Imbuhan Tetap Bulanan, pemenang pingat emas akan meraih elaun bulanan berjumlah RM5,000, perak (RM3,000) dan gangsa (RM2,000).

Lebih menggembirakan pemenang pingat Sukan Paralimpik yang berlangsung sebelum ini turut mendapat elaun berkenaan. Sebelum ini tiada pencen diberikan kepada atlet paralimpik.

Pada 2013, menerusi Skim Insentif Sukan Paralimpik, pemenang pingat emas akan meraih RM1 juta, perak (RM300,000) dan gangsa (RM100,000).

Ia adalah peningkatan berbanding ganjaran sebelum ini berjumlah RM300,000 (emas), RM200,000 (perak) dan RM100,000 ( gangsa).

"Kita mahu perasaan bangga dan gembira yang sama apabila atlet negara meraih pingat pada temasya terbesar dunia itu," katanya.

Seramai 21 atlet paralimpik layak ke Rio menerusi lapan acara sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 8:35 PM