REAKSI Azizul selepas tamat perlumbaan. FOTO Bernama
REAKSI Azizul selepas tamat perlumbaan. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ketibaan pelumba negara, Datuk Azizulhasni Awang petang ini pasti akan disambut sebagai wira selepas berjaya menyumbangkan pingat perak negara di temasya Olimpik Tokyo dalam acara berbasikal keirin dan Malaysia menamatkan cabaran di temasya terbesar itu dengan kejayaan satu perak dan satu gangsa menyamai pencapaian di Olimpik London pada 2012.

Di sebalik segala pengorbanannya selama ini, anak kelahiran Terengganu itu bakal dihujani dengan pelbagai ganjaran istimewa bakal menanti.

Yang pasti, Azizul bakal meraih wang ganjaran bernilai RM300,000 dari di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam). Selain Azizul akan turut menerima ganjaran itu adalah beregu badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang meraih gangsa akan menerima RM100,000.

Azizul hingga ketika ini menerima ganjaran RM15,000 dari Penjelajah Grand Slam, Datuk Muhammad Muqarabbin Mokhtarudin selain kerajaan negeri Terengganu turut bersetuju memberikan insentif kepada jaguh berbasikal trek negara yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat sebagai tanda penghargaan walaupun gagal meraih pingat emas.

Manakala Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tampil menawarkan biasiswa dan jawatan pensyarah di Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan kepada atlet basikal trek negara.

Untuk makluman berdasarkan data Jawantankuasa Olimpik Kebangsaan dari setiap negara, menunjukkan terdapat peruntukan bonus kepada setiap atlet yang berjaya memperoleh pingat di temasya Olimpik.

Selain Malaysia, terdapat beberapa negara lain yang turut sama menawarkan ganjaran lumayan kepada atlet yang meraih pingat di temasya itu.

Antaranya seperti pemenang pingat Emas pertama Filipina iaitu atlet angkat berat Hidilyn Diaz. Dia dimaklumkan menerima sekitar 33 juta peso Filipina (RM2.7 juta) dari kerajaan Filipina dan turut dikhabarkan akan menerima tawaran dua unit rumah bersama ganjaran penerbangan seumur hidup.

Terdahulu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) turut mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan skim pencen untuk atlet yang telah layak ke Sukan Olimpik dan mencapai kejayaan yang setara dengan Olimpik.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pencen itu akan membantu mengurangkan beban atlet kebangsaan yang banyak berkorban demi kejayaan negara.

Beliau juga mengalu-alukan saranan Presiden Persatuan Olimpian Malaysia (MOA) Karu Selvaratnam supaya atlet kebangsaan dilindungi insuran perubatan percuma, berdasarkan laporan Bernama minggu lepas.

Di bawah Skim Imbuhan Tetap Olimpik dan Paralimpik Majlis Sukan Negara, hanya pemenang pingat Olimpik dan Paralimpik yang menerima elaun bulanan seumur hidup untuk prestasi kelas dunia mereka.

Pemenang pingat emas akan menerima wang tunai RM1 juta Shakam dan pencen bulanan RM5,000; pemenang pingat perak menerima RM300,000 dan pencen bulanan RM3,000 manakala pemenang pingat gangsa menerima RM100,000 serta pencen sebanyak RM2,000 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 1:19 PM