RAZEEN (gambar kecil) mahu KBS, MSN layan Nicol seperti pemenang Olimpik. FOTO/NSTP
RAZEEN (gambar kecil) mahu KBS, MSN layan Nicol seperti pemenang Olimpik. FOTO/NSTP
Azlan Muhammad Zain


“LAYAN Datuk Nicol (David) seperti pemenang Olimpik.” Itu pandangan Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Nik Razeen Daud yang melihat elaun bulanan sepanjang hayat wajar dipertimbangkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) kepada ikon negara itu.

Walaupun skuasy tidak dipertandingkan di Olimpik, beliau melihat pemberian elaun bulanan kepada Nicol seperti pemenang pingat Olimpik adalah salah satu cara menghargai penat lelahnya.

“Selama 20 tahun dia berusaha menaikkan nama negara. Lapan kali bergelar juara dunia, sembilan tahun berada di kedudukan nombor satu dunia.

“Mana pernah atlet Malaysia lain meraih pencapaian sepertinya. Atlet seperti Nicol seharusnya dibantu dari segenap aspek. Pencen adalah salah satu perkara yang wajar dipertimbangkan,” menurut Nik Razeen.

Untuk rekod, pencen hanya diberikan kepada atlet negara yang meraih podium di Olimpik atau Paralimpik di bawah Skim Imbuhan Tetap Olimpik dan Paralimpik (SITO).

Pemenang emas di Olimpik akan mendapat elaun bulanan berjumlah RM5,000, perak RM3,000, manakala gangsa RM2,000 yang diterima sepanjang hayat.

Antara penerimanya adalah Datuk Lee Chong Wei (perak Olimpik Rio), Azizulhasni Awang (gangsa Olimpik Rio), selain tiga atlet paralimpik negara yang meraih emas di Sukan Paralimpik Rio iaitu Mohd Ridzuan Puzi, Mohd Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly.

“Sayangnya skuasy masih belum tersenarai di Olimpik, jika sebaliknya sudah pasti emas berjaya diraih. Namun, dia wajar dipertimbangkan untuk dilayan seperti pemenang medal Olimpik.

“Malah bukan saja kepada skuasy, namun sukan lain yang mempunyai juara dunia turut wajar diberikan layanan sama,” tambahnya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengarahkan MSN mewujudkan satu insentif istimewa bagi memastikan perancangan atlet berusia 35 tahun itu yang bakal bersara dapat dijayakan.

Nicol yang bakal bersara pada Jun ini, turut meraih 81 kejuaraan Jelajah PSA, selain lima emas Sukan Asia dan dua emas Sukan Komanwel.

Pada masa sama, Nik Razeen menjelaskan pihaknya sedia mendengar perancangan Nicol dan memberikan sokongan penuh kepadanya nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 10:23 AM