Muhammad Apendy Issahak dan Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Peristiwa kekecohan di antara penyokong Perak dengan Johor DT pada 2014 berulang kembali malam tadi selepas kedua-dua penyokong sekali lagi kecoh di Stadium Perak, di sini hingga memaksa pihak berkuasa mengarahkan penyokong pelawat berkumpul di tengah padang.

Kekecohan berlaku sejurus selepas tamat perlawanan saingan Liga Super pada 11.30 malam yang menyaksikan pasukan tuan rumah tewas 0-1 kepada pelawat.

Penyokong kedua-dua pasukan saling berbalas provokasi melalui nyanyian mengutuk sebelum bertukar ganas apabila terdapat penyokong yang mula membaling objek serta mercun.

Insiden itu turut mengakibatkan beberapa penyokong dipercayai cedera dalam kekecohan yang berlaku dan diberi rawatan oleh pasukan perubatan yang turut bersedia di stadium.

Turut menjadi mangsa, Jurufoto The New Straits Times Press (M) Berhad, Supian Ahmad yang cedera dipukul dan kamera Canon 1 DX dan lensa dicuri oleh penyerangnya.

Dalam insiden kekecohan kedua-dua penyokong pada 2014 di stadium sama Supian turut cedera pada lutut dibaling batu oleh penyokong.

Bagi meredakan keadaan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Abdul Puhat Nayan terpaksa meminta penyokong Perak meninggalkan stadium melalui pembesar suara dan penyokong tuan rumah mula beredar keluar pada 12.15 tengah malam dengan dikawal pasukan polis.

Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) turut dikerah ke dalam stadium.

Keadaan mula tenang pada 12.35 tengah malam dan polis kemudian mengiring bas pemain kedua-dua pasukan untuk meninggalkan stadium, bagaimanapun penyokong pelawat masih tidak dibenarkan keluar.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong yang turut berada di stadium bagi mengawal keadaan berkata, pihaknya terpaksa menggeluarkan bas yang membawa pegawai dan pemain kedua-dua pasukan terlebih dahulu demi keselamatan mereka.

"Kita keluarkan bas membawa pegawai dan pemain dahulu dan kemudian membenarkan kira-kira 20 bas yang membawa penyokong pelawat masuk ke perkarangan stadium untuk mengambil semua penyokong berkenaan yang berada dalam stadium.

"Bas penyokong berkenaan kemudian turut diiring polis hingga ke lebuh raya," katanya.

Kesemua kira-kira 1,000 penyokong terbabit dibenarkan menaiki bas bermula 1 pagi dan meninggalkan stadium setengah jam kemudian.

Pasukan polis turut menjalankan pemeriksaan terhadap bagi mengesan milik kamera jurufoto yang hilang dan akhirnya kamera berkenaan ditemui ditinggalkan di atas padang selepas sebahagian besar penyokong keluar meninggalkan padang.

Berita berkaitan:

Jurugambar cedera dibelasah penyokong [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 2:02 AM
IPASUKAN Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal keadaan di Stadium Perak. FOTO Muhaizan Yahya
IPASUKAN Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal keadaan di Stadium Perak. FOTO Muhaizan Yahya