Pemain-pemain JDT menjulang Piala Sumbangsih setelah menewaskan Juara Piala Malaysia 2021 KL City FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Pemain-pemain JDT menjulang Piala Sumbangsih setelah menewaskan Juara Piala Malaysia 2021 KL City FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tiga kemungkinan iaitu dilarang beraksi di halaman sendiri, beraksi tanpa penonton atau denda puluhan ribu ringgit antara bentuk hukuman yang boleh dikenakan ke atas pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) susulan kekecohan penyokong di luar Stadium Sultan Ibrahim, Sabtu lalu.

Menurut bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah, bentuk hukuman berkenaan adalah kesalahan biasa dikenakan ke atas tuan rumah yang gagal menyediakan kawalan keselamatan biarpun ia berlaku di luar stadium.

Katanya, walaupun kesalahan itu mungkin berpunca atau dimulakan oleh penyokong pelawat, tetapi tuan rumah tetap bersalah kerana gagal mengawal keadaan.

Namun jelasnya, bentuk hukuman itu mungkin sudah berubah ketika ini dengan penambahbaikan dilaksanakan oleh badan pengelola saingan Liga Malaysia (Liga M) iaitu Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Kalau ikut amalan biasa, kesalahan seperti kekecohan penyokong di luar stadium pun boleh diambil tindakan dan diberikan hukuman. Kalau dulu Kelantan pernah dikenakan hukuman dilarang bermain di gelanggang sendiri, di mana mereka perlu bermain di luar negeri Kelantan kerana kekecohan penyokong sama ada di dalam stadium mahupun luar stadium.

"Tapi dulu mereka dilarang sebab masalah yang berlaku di luar stadium dan kalau ikutkan itu hukuman paling berat sekali. Hukuman lain seperti larangan bermain tanpa kehadiran penyokong ataupun denda. Jadi pada saya, apa yang berlaku di Johor (luar Stadium Sultan Ibrahim) itu boleh dikenakan tindakan sama.

"Walaupun mungkin bukan disebabkan penyokong tuan rumah (memulakan kekecohan), tetapi tuan rumah tetap gagal sediakan kawalan sebaiknya," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Berdasarkan semakan, terdapat beberapa kes yang pernah berlaku sebelum ini apabila Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 20 Disember 2017 mengenakan denda ke atas pasukan Perak dengan menggunakan Kod Tatatertib FAM berkaitan Tanggungjawab Bagi Kelakuan Penonton & Penganjuran Perlawanan.

Antara denda yang dikenakan sebanyak RM35,000 secara keseluruhan dan bermain dua perlawanan tanpa penonton di gelanggang sendiri (1+1) serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

Hukuman itu disebabkan kekecohan penyokong di luar stadium yang menyebabkan ada penyokong yang cedera ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2017 antara Perak dan JDT, di Stadium Perak, Ipoh.

Terdahulu, tular di laman sosial video kekecohan sekumpulan penyokong membakar dan membaling suar ke arah satu lagi kumpulan penyokong yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengunjung yang hadir.

Kejadian itu berlaku di luar Stadium Sultan Ibrahim selepas berakhirnya aksi Piala Sumbangsih antara JDT dan Kuala Lumpur City FC yang menyaksikan tuan rumah memenangi aksi dengan 3-0.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 7:00 AM