CHE TA ambil masa 4 bulan sebelum terima tawaran pelantikan anak sebagai duta produk mandian.
CHE TA ambil masa 4 bulan sebelum terima tawaran pelantikan anak sebagai duta produk mandian.
Sudirman Mohd Tahir


Pelakon Rozita Che Wan menyifatkan pelantikan anaknya Aaisyah Dhia Rana sebagai duta rangkaian produk mandian organik bayi dan kanak-kanak, Mini Me sebagai rezeki untuk buah hatinya itu.

Malah Rozita yang mesra disapa Che Ta menganggap perkara itu bukan satu pekerjaan memandangkan puterinya itu masih kecil.

“Apabila Aaisyah dilantik menjadi duta, bagi saya itu rezekinya. Dia bukan­nya bekerja pun atau perlu melakukan banyak perkara. Jadi saya tak kisah. Tambahan pula komitmen menjadi duta produk ini tidak seperti kebanyakan produk lain.

“Saya difahamkan hanya tiga kali Aaisyah perlu menjayakan aktiviti yang diatur Mini Me. Itu antara sebab kenapa saya menerima tawaran ini,” katanya.

Sambung Che Ta, pelantikan anaknya yang kini berusia setahun lapan bulan itu atas namanya sendiri dan bukan harga pakej membabitkan dirinya dengan suami, Zain Saidin.

“Saya mengambil masa empat bulan untuk buat keputusan. Sebelum itu saya cuba dahulu produk ini sebab tak mahu bersikap tangkap muat. Apatah lagi produk ini juga sesuai untuk seisi keluarga.

“Pelantikan Aaisyah bukan pakej kami bertiga sebaliknya membabitkan dia seorang saja. Bagaimanapun, komitmen yang diberikan tetap membabitkan jadual kerja saya,” katanya.

Pada masa sama, pelakon drama Kak Marr ini mendedahkan dia terpaksa menolak lebih 10 tawaran daripada beberapa produk tempatan dan antarabangsa yang mahu melantik ­Aaisyah sebagai duta.

Che Ta berkata, dia mempunyai alasan kukuh berbuat sedemikian selain soal bayaran.

“Tidak dinafikan ­Aaisyah dapat banyak tawaran menjadi duta sejak lahir. Sepanjang tempoh setahun saya menolak lebih 10 tawaran. Saya tidak boleh main ambil saja sebaliknya perlu meneliti banyak perkara.

“Saya menitikberatkan soal komitmen produk, jadual kerja saya dan bayaran. Jika semuanya okey, saya anggap ia rezeki anak saya,” katanya.

Menurut Che Ta, pelantikan anaknya itu adalah yang pertama untuk tahun ini selepas beberapa produk tahun lalu.

Selain itu, Che Ta juga dalam perancangan mengeluarkan jenama baju anaknya.

Aaisyah suka beg tangan

Tidak seperti kebanyakan kanak-kanak lain, Che Ta memaklumkan Aaisyah lebih menyukai beg tangan dan kasut daripada barang permainan atau gajet.

“Saya tidak mendedahkan anak dengan gajet. Bimbang nanti ia memberi kesan kepada penglihatannya. Malah apa yang saya perasan, Aaisyah lebih tertarik dengan beg tangan dan kasut.

“Sehinggakan kalau saya membawanya masuk ke kedai permainan, dia tidak menunjukkan sebarang minat. Namun, kalau kebetulan saya masuk kedai beg, dia memberikan reaksi berbeza,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Che Ta yang merancang menunaikan umrah semalam (Jumaat) gagal berbuat demikian kerana visa mereka tidak diluluskan berikutan pergolakan yang berlaku di Arab Saudi baru-baru ini.

“Tak ada rezeki kami untuk ke Makkah. Insya-Allah kalau ada rezeki kami tetap mahu menunaikan umrah bersama yang juga impian saya sejak berkahwin.

“Disebabkan itu saya mahu beraya kerana banyak lagi baju raya yang belum dipakai,” katanya sambil tergelak.

Beralih perihal karier lakonan, Che Ta menjelaskan dia tidak keberatan sekiranya Zain memintanya bersara.

“Setakat ini Zain belum meminta saya berhenti berlakon biarpun dia lebih suka saya berniaga.

“Sekarang saya hanya berlakon dengan Zeel Production. Produksi sendiri pun saya tak nak berlakon. Bagi saya, lakonan hanya sekadar pendapatan sampingan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2016 @ 5:00 AM