BERGAYA di hadapan Menara Eiffel, Paris.
BERGAYA di hadapan Menara Eiffel, Paris.
AKSI comel Aaisyah Dhia Rana.
AKSI comel Aaisyah Dhia Rana.
ANAK sulung Che Ta hasil perkahwinan terdahulu, Ammar Effendy tidak ketinggalan ikut serta.
ANAK sulung Che Ta hasil perkahwinan terdahulu, Ammar Effendy tidak ketinggalan ikut serta.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Sejak beberapa bulan lalu, Rozita Che Wan, 42 dan suami tercinta, Zain Saidin, 31 membawa puteri mereka, Aaisyah Dhia Rana menjelajah Kota London kemudian ke China, Taiwan, Jepun, Singapura dan Switzerland.

Baru-baru ini bayi comel berusia tujun bulan itu sekali lagi dibawa bercuti di London dan Paris. Lebih menarik kali ini Che Ta turut membawa adik-beradiknya.

“Ini kali kedua saya bawa Aaisyah bercuti di London dan Paris. Kami hanya tinggalkan dia sekali saja ketika mengerjakan umrah tempoh hari. InsyaAllah, Disember nanti kami merancang ke sini lagi.

“Saya suka London dan Paris kerana kemudahan yang disediakan sangat selesa. Nak cari tempat makan pun mudah, malah ada banyak tempat untuk membeli-belah. Apabila kerap ke sana, saya sudah tahu jalan,” katanya.

Menurut Che Ta, sambil bercuti dia dan adiknya, Ayu Raudhah mengadakan sesi fotografi koleksi tudung yang diusahakan selain meninjau hartanah di negara itu.

“Insya-Allah kalau ada rezeki, saya dan suami mahu beli rumah di sana. Zain pun pernah mencadangkan supaya saya buka restoran di sana. Bagi merealisasikan impian itu, kami kena bekerja lebih keras,” katanya.

Sepanjang dua minggu di sana, mereka sekeluarga tidak melepaskan peluang merakamkan gambar kenangan bersama di beberapa lokasi menarik.

“Memandangkan belum ada jualan muarah, kami tak banyak membeli-belah.

“Kami gunakan peluang ini untuk berehat sambil menikmati pemandangan indah. Walaupun sudah selalu ke London dan Paris, saya tidak pernah bosan,” kata Che Ta.

Sementara itu, Zain seronok dapat bercuti bersama keluarga isteri tersayang. Terasa lebih meriah apabila dapat berkumpul beramai-ramai, malah pengalaman itu cukup berharga buat mereka sekeluarga.

“Selalu berdua dan bertiga, kali ini ramai pula nak ikut. Memang meriah apatah lagi semua suka berjalan dan bergambar,” katanya.

Antara lokasi menarik yang dikunjungi ketika berada di London adalah Tower Brige, Menara Big Ben, Katedral St Paul’s, Sungai Thames manakala di Paris pula Menara Eiffel, Arc de Triomphe, Muzium Louvre, Place de la Concorde dan banyak lagi.

Selain merancang satu lagi percutian pada September nanti, Che Ta dan Zain berhasrat membawa anak mereka bercuti di Eropah hujung tahun ini.

Nafi hidup mewah

Selain kerap bercuti, pakaian dan penampilan Che Ta mencerminkan gaya hidup mewah.

Che Ta bagaimanapun menafikan perkara itu, malah menegaskan kehidupan hariannya sama saja seperti orang lain.

“Mana ada mewah. Kami hidup macam orang lain juga.

“Malah, ada ketikanya saya dan suami bekerja dua hari tanpa henti demi mencari rezeki. Nak bawa Aaisyah pergi kelas renang pun tak sempat.

“Kami hanya dapat habiskan masa bersama jika bercuti. Ikutkan hati, mahu saja bercuti setiap bulan, tetapi apakan daya jadual kerja saya dan Zain tidak sama,” katanya.

Tambah Che Ta, dia sudah lali dengan kritikan dan kutukan peminat. Setiap kali gambarnya bercuti di luar negara tersebar di Internet pasti ada kata-kata pedas dilemparkan kepadanya dan suami.

Katalah apa saja, dia tidak kisah. Apa yang penting, dia menikmati hidup tenang dan bahagia bersama keluarga. Apa saja kata-kata yang dilemparkan berikutan gaya hidupnya, dia tidak ambil kisah.

“Kalau tak nak dikutuk atau dikeji, jangan buat apa-apa.

“Dari dulu saya bersikap positif mengenai perkara ini. Apa saja orang kata, saya tidak pernah ambil kisah.

“Selalunya orang mengata sebab cemburu dengan apa yang kita ada. Betul tak?” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 10:40 AM