ROZITA bakal mengerjakan umrah buat pertama kali bersama Zain.
ROZITA bakal mengerjakan umrah buat pertama kali bersama Zain.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Anaknya Aaisyah Dhia Rana baru berusia tiga bulan dan pelakon cantik Rozita Che Wan mengakui sepanjang tempoh ini sukar buatnya berenggang dengan si comel itu.

Malah, jika ada urusan di luar pun, dia cuba membawa Aaisyah bersama jika berpeluang.

Bagaimanapun, demi menunaikan hasrat yang dibuat sebelum ini, Rozita, 42, atau Che Ta terpaksa meninggalkan Aaisyah untuk dijaga keluarganya selama dua minggu kerana dia bakal mengerjakan umrah bersama suaminya, Zain Saidin pada 20 Februari depan.

"Sebelum ini pun saya tolak tawaran berlakon kerana terasa susah nak tinggalkan anak yang masih kecil. Kadang-kadang saya keluar rumah dan tinggalkan dia, saya pasti hubungi keluarga untuk tahu perkembangan Aaisyah.

"Tapi saya terpaksa juga tinggalkan Aaisyah kerana perlu menunaikan nazar iaitu sekiranya hamil lagi selepas berkahwin, saya akan buat umrah bersama suami dan alhamdulillah doa kami diperkenankan Allah.

"Ini kali pertama saya buat umrah dengan Zain. Dua lagi anak saya, Ammar Effendy, 19 dan Aniq Ezzra, 17, juga tak dapat turut serta kerana bersekolah. Aniq pula bakal menduduki peperiksaan SPM tahun ini.

"Sebenarnya emak saya suruh bawa Aaisyah sekali kerana dia bukanlah bayi yang banyak ragam. Cuma berdasarkan cerita rakan saya, di sana banyak habuk jadi saya putuskan untuk tinggalkan dia dengan keluarga,"katanya yang sudah tujuh kali mengerjakan umrah.

Jadi duta produk

Tidak dinafikan pelakon berasal dari Alor Setar, Kedah ini mempunyai aura tersendiri dalam menarik perhatian banyak syarikat yang berminat menjadikannya duta atau model produk mereka.

Terbaru Che Ta dilantik pula menjadi duta produk kesihatan. Baginya kesempatan ini digunakan sebaiknya untuk kembali mendapatkan bentuk badan ideal selepas bersalin.

"Saya sebenarnya didatangi tawaran untuk terbabit dengan produk pelangsingan dan juga produk ini, namun hati lebih terarah kepada produk ini kerana saya bukanlah rajin sangat nak keluar ke pusat pelangsingan.

"Apabila pengurus saya, Afiq beritahu mengenai produk ini, saya bertanya dia kembali produknya bagus atau tidak. Saya tak pandang samada produk baharu atau lama kerana yang penting keberkesanannya.

"Selepas itu saya diberikan testimoni dan selepas mencuba saya dapati hasilnya sangat bagus. Bayangkan selepas bersalin berat saya 74 kilogram dan selepas mencuba produk ini, berat saya berkurangan kepada 58 kilogram hanya dalam tempoh dua bulan," katanya yang memberitahu tawaran ini dibuat ketika kandungannya berusia enam bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 5:02 AM