ZAINAL rancang konsert solo ceritakan perjalanan seni selama 35 tahun.
ZAINAL rancang konsert solo ceritakan perjalanan seni selama 35 tahun.
Ramlah Zainal


Sepanjang 35 tahun berkecimpung dalam arena muzik, pelbagai anugerah dan pencapaian diraih penyanyi terkenal Zainal Abidin.

Bukan sahaja memiliki karier seni yang kukuh, Zainal sudah berada dalam kelasnya tersendiri.

Namun, berbanding rakan seperjuangannya, tidak banyak publisiti mengenai dirinya dilaporkan di media cetak mahupun elektronik ketika ini.

Secara peribadi, Zainal, 57, mengakui dia lebih suka bersikap ‘low profile’ sejak dulu.

“Zaman saya mengejar glamor dan dan populariti sudah lama berlalu.

“Kadang-kadang saya rasa diri sudah tidak relevan dengan adanya ramai bakat baru dalam industri muzik tanah air.

“Stesen radio dan televisyen tempatan juga hanya memutarkan lagu dendangan artis kelahiran program terbitan mereka sendiri.

“Sebab itu saya tidak mahu terbitkan single atau album baru kerana ia hanya merugikan diri sendiri.

“Kali terakhir saya muncul dengan lagu Alam empat tahun lalu,” katanya.

Walaupun kurang pendedahan di negara sendiri, Zainal mengakui namanya lebih dikenali di luar negara.

“Sepanjang terbabit dalam bidang ini, saya sudah menjayakan persembahan di serata dunia. Saya berpuas hati kerana karya saya dihargai pihak luar.

“Selalunya persembahan yang dijayakan di luar negara tidak mendapat publisiti di negara sendiri. Mungkin kerana itu ramai ingat saya sudah tidak aktif menyanyi,” katanya.

Berkongsi perancangan kariernya, Zainal berkata, dia ingin mengadakan konsert solo yang menceritakan perjalanan seninya selama 35 tahun.

“Saya akui bukan mudah direalisasikan kerana ia membabitkan soal tajaan dan bajet yang besar.

“Saya juga merancang mengadakan konsert solo, tetapi dengan duit sendiri,” katanya.

Mengenai konsert reunion dengan Headwind pula, kata Zainal, sudah lebih 100 kali penganjur menyuarakan hasrat itu.

“Terus terang, muzik saya sudah jauh ke hadapan dan tidak sesuai bergabung dengan mereka lagi.

“Lagipun pemuzik Headwind sudah berjaya dengan bisnes dan kehidupan masing-masing.

“Buat masa ini, saya belum bersedia mengadakan konsert reunion dengan Headwind,” katanya.

Kali terakhir, Zainal pernah mengadakan konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) Kuala Lumpur pada 6 dan 7 Mei lalu.

Sampaikan lagu Hijau dalam bahasa Melayu

Walaupun sudah mengadakan persembahan di serata dunia, konsert ‘Music For Mercy’ cukup bermakna dalam sejarah karier seni penyanyi yang dikenali dengan ‘world music’ itu.

Menerusi konsert yang bakal berlangsung di Rome, Itali pada 26 Julai ini, Zainal bakal berkongsi pentas dengan barisan artis terkenal antarabangsa seperti Andrea Bocelli, komposer tersohor pemenang anugerah Grammy, David Foster serta bintang teater muzikal British, Elaine Paige.

Zainal berkata, dia melihat pemilihannya dalam konsert berprestij itu sebagai pengiktirafan kerana sumbangan dan perjuangannya menyampaikan lagu berunsur kemanusiaan serta alam sekitar sejak dulu.

“Konsert ini diadakan bagi menyampaikan mesej kemanusiaan serta menyatukan penduduk dunia tanpa mengira agama dan latar belakang.

“Sebagai satu-satunya penyanyi dari Asia, saya akan menonjolkan budaya Malaysia daripada pelbagai aspek.

“Malah, saya juga berpeluang menyampaikan lagu Hijau dalam bahasa Melayu.

“Saya akan menolak tawaran menjayakan konsert ini jika penganjur meminta saya menyanyikannya dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Selain Hijau, Zainal akan turut menyanyikan dua lagi lagu termasuk berduet dengan penyanyi lain diiringi 80 pemuzik Roma United Orchestra di bawah pimpinan Romano Musumarra.

Dalam perkembangan lain, Zainal masih meneruskan kempen gaya hidup hijau anjuran KeTTHA bersama Suruhanjaya Tenaga dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) hingga 22 Ogos depan.

Ia membabitkan ramai artis serta lebih 100 pemimpin badan korporat yang dijalankan di 15 lokasi di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2016 @ 5:00 AM