ZAINALABIDIN tampil dengan single terbaharunya berjudul Tiba Masa.
ZAINALABIDIN tampil dengan single terbaharunya berjudul Tiba Masa.
Najiy Jefri


SELEPAS lebih 30 tahun menyanyikan lagu popular Hijau, penyanyi tersohor Datuk Zainalabidin memperkenalkan single terbaharu berjudul Tiba Masa yang juga kesinambungan kepada lagu Hijau yang pernah mencetuskan fenomena satu ketika dahulu.

Dihasilkan sempena meraikan empat dekad perjalanan seninya dalam industri muzik tanah air, Tiba Masa mendapat sentuhan emas daripada komposer disegani, Michael Veerapen yang bertindak sebagai pencipta lagu manakala bait-bait lirik adalah tulisan daripada Mukhlis Nor.

Menurut Zainalabidin, idea menghasilkan lagu berdurasi tiga minit itu tercetus apabila saban hari semakin banyak isu pencemaran dan kemusnahan alam sekitar menjadi liputan utama akhbar.

"Saya sudah ingatkan orang ramai ketika menyanyikan lagu Hijau 30 tahun lalu yang kita perlu menjaga alam sekitar, namun tidak ramai yang ambil peduli, akhirnya sekarang kita menanggung akibatnya," katanya.

Seiring dengan kejayaan single Tiba Masa, Zainalabidin turut melancarkan muzik video yang diarahkan sendiri oleh isteri Zainalabidin, Datin Angelina Asmawi.

Mengambil masa hanya dua jam untuk melengkapkan penggambaran, muzik video itu mengetengahkan teknologi AI terkini, pertama seumpamanya di Malaysia.

Dengan mengetengahkan latar belakang alam sekitar, muzik video berkenaan dipersembahkan buat pertama kali kepada media sebelum diikuti dengan persembahan secara langsung daripada beliau.

Selain pelancaran single Tiba Masa, Zainalabidin turut mengumumkan konsert solo yang diadakan pada 30 September depan.

Memilih judul Tiba Masa Zainalabidin, konsert berkenaan bakal berlangsung di Panggung Sari Istana Budaya.

Menurut Pengarah Urusan Bsync Live, Adam Mazelan yang bertindak sebagai penganjur, tiket konsert mula dijual sejak 4 Ogos lalu.

"Sambutan yang diterima setakat ini amat menggalakkan. Menawarkan enam fasa tiket bermula RM169 untuk tempat duduk Aras 2 sehingga RM865 untuk tempat duduk kategori Emas," katanya.

Pada konsert berkenaan, Zainalabidin dijangka membuat persembahan tanpa henti selama dua jam dengan diiringi barisan pemuzik tersohor antaranya Mac Chew dan Michael Veerapen.

Selain menyanyikan lagu popular, turut menjadi tarikan konsert Tiba Masa adalah kemunculan istimewa Zainalabidin bersama kumpulan Headwind yang bakal menyampaikan lagu hit mereka seperti Suraya, Pelangi, Segalanya Mungkin, dan Hanya Di Radio.

Kali terakhir kemunculan Headwind bersama Zainalabidin dalam sebuah persembahan adalah ketika konsert Zainalabidin pada lima tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 6:45 AM