BRUCE (depan) kemudi Hull ke Liga Perdana musim lalu.
BRUCE (depan) kemudi Hull ke Liga Perdana musim lalu.
Agensi

London: Bos Hull Steve Bruce ditemuduga Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris mengenai kekosongan jawatan pengurus England, kelmarin.

Bos Sunderland Sam Allardyce sudah ditemuduga minggu lalu dan menjadi pilihan menggantikan Roy Hodgson, yang meletak jawatan selepas England kecundang di tangan Iceland pada Euro 2016.

Bruce, 55, mengemudi Hull kembali ke Liga Perdana musim lalu selepas terjerumus ke Liga Kejuaraan pada 2015.

Pengurus Bournemouth Eddie Howe dan jurulatih Amerika Syarikat Juergen Klinsmann turut dikaitkan dengan jawatan itu.

Ketua Eksekutif FA Martin Glenn mengetuai panel tiga ahli yang termasuk pengarah teknikal FA Dan Ashworth serta ahli lembaga pengarah David Gill, bagi memutuskan pengurus baharu England.

Bruce, bekas kapten dan pertahanan Manchester United, yang tidak pernah beraksi untuk England, menyatakan bulan lalu beliau akan kekal di Hull.

Namun berikutan rancangan pengambilalihan di Stadium KC, beliau menerima hakikat mungkin akan digantikan.

Menjelang rundingan bersama FA, Bruce berkata beliau amat terharu dikaitkan dengan tugas itu yang diharapkannya menjadi milik warga Inggeris.

“Saya fikir pengendali England sepatutnya warga Inggeris. Saya sering menyatakannya, tiada siapa lebih patriotik berbanding saya.

“Saya terharu dikaitkan dengannya. Ia satu kemuncak untuk mengurus negara anda. Tiada tugas yang lebih besar di dunia berbandingnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 7:47 AM