London: Pengurus Hull City Steve Bruce (gambar) mengakui terharu dikaitkan dengan kerusi kosong pengurus England, berikutan peletakan jawatan Roy Hodgson.

Hodgson meletak jawatan selepas penyingkiran memalukan England dari pentas Kejohanan Eropah di tangan Iceland dan Bruce adalah antara beberapa pengurus yang dikaitkan dengan jawatan itu oleh media Britain.

“Saya amat terharu dan berbangga dikaitkan dengannya,” kata Bruce yang membawa Hull kembali ke Liga Perdana Inggeris selepas semusim dalam Liga Kejuaraan, memberitahu media tempatan.

“Sama ada ia akan pergi jauh atau tidak, ia satu kemuncak, tidak begitu? Tiada tugas yang lebih besar daripada menguruskan negara anda.

“Semua itu spekulasi. Ramai yang menulis perkara bagus dan untuk itu saya berterima kasih.”

Nama pengurus Amerika Syarikat Juergen Klinsmann dan pengurus Sunderland Sam Allardyce turut dikaitkan dengan jawatan itu.

Bruce berkata, beliau masih belum dihubungi Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris dan memberi tumpuan untuk membentuk skuad Hull yang mampu bertanding dalam Liga Perdana musim depan.

“Dengan beberapa pemain yang kami lepaskan pada akhir musim lalu dan dua kecederaan, kami mungkin mencari lima atau enam muka baharu,” katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 11:11 AM