Hull: Pengurus Sunderland Gus Poyet bergaduh dengan rakan sejawat di Hull City, Steve Bruce selepas beliau dibuang padang ketika kedua-dua pasukan seri 1-1 pada pertembungan tegang Liga Perdana, awal pagi semalam.

Selepas penyerang Senegal, Dame N’Doye meletakkan Hull di depan pada minit ke-15 di Stadium KC, Poyet dihantar ke bangku penonton selepas membantah keputusan pengadil Mike Dean melayangkan kad kuning kepada Jack Rodwell kerana sengaja merebahkan badan.

Beliau bertelagah dengan Bruce, bekas pengurus Sunderland dan terpaksa dileraikan pegawai keempat ketika Poyet melangkah pergi.

Poyet bagaimanapun gembira pada minit ke-77 apabila Rodwell menanduk masuk gol penyamaan yang membolehkan Sunderland berada empat mata di atas zon penyingkiran, satu mata di bawah Hull.

Selepas permulaan pantas, Hull berada di depan apabila N’Doye bijak menyumbat gol dengan kuisan tumit berikutan sepakan percuma Tom Huddlestone.

Insiden paling menarik hadir pada minit ke-36 apabila pemain tengah Sunderland, Rodwell dilayang kad kuning kerana sengaja merebahkan badan dalam kotak penalti Hull.

Reaksi berang Poyet menyaksikan beliau diarah ke bangku penonton dan beliau menerpa Bruce sekali gus mencetus kemarahan pengurus Hull itu yang akhirnya ditenangkan pegawai keempat.

Namun Sunderland menyamakan kedudukan 13 minit sebelum tamat apabila hantaran lintang pemain gantian Patrick van Aanholt disempurnakan Rodwell dari jarak dekat. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 8:37 AM