HIMPUNAN Shupette yang diinspirasikan daripada kucing kesayangan Karl Lagerfeld.
HIMPUNAN Shupette yang diinspirasikan daripada kucing kesayangan Karl Lagerfeld.
CHOUPETTE antara kucing paling glamor dalam media sosial dengan lebih 47,000 pengikut
CHOUPETTE antara kucing paling glamor dalam media sosial dengan lebih 47,000 pengikut
KOLEKSI Shupette serlahkan mata galak bak kucing dengan penggunaan bulu mata palsu premium.
KOLEKSI Shupette serlahkan mata galak bak kucing dengan penggunaan bulu mata palsu premium.
Oleh Nor Faizah Mohamed

Tiada yang mustahil bagi Shu Uemura. Bulu mata palsu dengan tatahan batu permata? Tiada masalah. Paduan warna meriah pada riasan mata, pipi dan bibir? Nah, ia bukan perkara asing, malah menjadi sebahagian daripada tanda pengenalan jenama kosmetik popular dari Jepun itu.

Dan kini Shu Uemura menjadikan Choupette, antara kucing paling glamor dalam media sosial seperti Twitter dan Instagram, sebagai inspirasinya dalam menghasilkan himpunan istimewa bagi meraikan kedatangan Krismas kali ini.

Bergabung idea dengan pereka fesyen tersohor dunia, Karl Lagerfeld, yang juga si empunya Choupette, koleksi menarik ini menampilkan dua tema-Parisienne Chic dan Tokyo Kawaii- yang mewakili ritma estetika dua jenama itu.

Dikenali sebagai 'Shupette' (Shu Uemura dan Choupette), kolaborasi ini sememangnya mengetengahkan solekan berteraskan riak kucing dengan menonjolkan riasan mata yang dramatik.

Ditambah dengan trend helaian bulu yang kembali menguasai pentas peragaan di Paris, Shupette cuba mengetengahkan koleksi pembayang mata Eye-Need-Shu Trio dengan kilatan perak yang disediakan dalam beg unik seakan bulu Choupette bertatahkan batu hiasan rona biru yang menyerupai matanya.

Bulu mata palsu premium Furry-Fantasy dihiasi kristal dan beberapa helaian bulu berwarna merah jambu yang membuatkannya tampak seakan kerlipan bulu mata kucing.

Olesan Parisienne Chic menjurus kepada paduan rona biru lembut, hitam, kelabu terang dan gelap untuk solekan mata manakala bibir diberi serakan rona perang, merah lembut serta merah jambu pudar untuk hasil keseluruhan yang chic elegan.

Budaya Kawaii Tokyo pula ditonjolkan pada kombinasi pembayang mata warna merah pudar, emas, perang lembut dan perang gelap. Riasan bibirnya juga sedikit terang dengan pilihan rona merah pastel dan merjan (coral).

Selain itu, koleksi ini merangkumi penggaris mata Eye-Need-Shu yang mudah dilorek bagi mendapatkan lirikan garis mata kucing, palet bibir Shupette Has-It-All, Rouge Bon Bon Fantasy Trio juga untuk bibir, pemerah pipi Silk Cushion, bedak wajah Pampearl-Me, set kilatan My Precious, mousse bedak asas Tsuya UV Base Under dan pembersih wajah Ultim8 Sublime Beauty.

Tanpa mengenepikan keperluan alat bantuan solekan, koleksi Shupette Shu Uemura X Karl Lagerfeld ini menampilkan set berus istimewa With-Love-From-Paris dan pelentik bulu mata Shupette's Flair, malah set kotak khas atau trunk yang menghidangkan hampir semua keperluan solekan daripada koleksi ini.

Sebagai tanda penghormatan, Pengarah Artistik Antarabangsa Shu Uemura, Kakuyasu Uchiide menyediakan empat gaya 'cat eye' menggunakan koleksi ini.

Hubungan akrabnya dengan pereka legenda itu membuatkan Uchiide berpeluang menghabiskan masa dengan Choupette dan mengesahkan pada dunia bahawa kucing Siam itu mempunyai dua pe­ngasuh serta tidak pernah makan di lantai.

Di sebalik gambaran kehidupan mewah Choupette, Uchiide mengatakan bahawa menghasilkan produk bagi menepati gaya sofistikated seperti yang dipaparkan kucing itu adalah cabaran luar biasa.

"Choupette adalah seekor kucing dan ia benar-benar kucing betina. Gayanya seperti gadis sebenar. Jadi, apakah aspek penampilan wajah yang cuba dibawakannya? Agak lama juga saya fikirkan mengenai aspek itu.

"Saya menggunakan imaginasi dan sesekali meletakkannya seperti peragawati. Bagi penggunaan warna merah jambu pada beberapa helaian bulu mata palsu koleksi ini, saya asalnya tertarik dengan warna putih, malah ia menyerupai warna Choupette.

"Putih sememangnya cantik, tapi apabila digunakan pada bulu mata, ia tampak tua seperti uban. Ditambah pula ini khusus untuk koleksi perayaan Krismas, warna merah jambu dapat menyuntik rasa meraikan hari yang ceria," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 5:07 AM