GAYA retro 1980-an dipaparkan di pentas peragaan Toga, hasil tangan Sada Ito.
GAYA retro 1980-an dipaparkan di pentas peragaan Toga, hasil tangan Sada Ito.
JAMES Kaliardos menggunakan batu kristal Swarovski pada solekan mata.
JAMES Kaliardos menggunakan batu kristal Swarovski pada solekan mata.
RONA lembayung atau merah gelap pada bibir menjadi tumpuan kerana hasilnya yang glamor dan mudah digayakan.
RONA lembayung atau merah gelap pada bibir menjadi tumpuan kerana hasilnya yang glamor dan mudah digayakan.
PENTAS peragaan Marc Jacobs serlahkan solekan wanita elegan, berkuasa dan sofistikated.
PENTAS peragaan Marc Jacobs serlahkan solekan wanita elegan, berkuasa dan sofistikated.
FRANCOIS Nars mengambil inspirasi daripada bintang era 1950-an dan 1960-an bagi solekan musim ini.
FRANCOIS Nars mengambil inspirasi daripada bintang era 1950-an dan 1960-an bagi solekan musim ini.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Minimalis, trendy dan eksentrik. Tiga elemen yang menjadi antara rangkuman laporan trend solekan musim luruh dan dingin (AW15) di NARS kali ini dilihat lebih dimensi sambil diselangi gerakan feminisme era ini.

Meskipun rata-rata mengetengahkan kanvas wajah yang diolah seakan-akan mengenakan solekan tipis, keseluruhan persembahan AW15 ini tercetus daripada pertembungan trend lampau dan rentak terkini yang sama sekali jauh daripada ilham pesona riasan biasa.

Riasan wajah semula jadi, olesan bibir klasik dan penampilan lebih elegan diangkat menjadi nadi kepada himpunan alirannya dari pentas Minggu Fesyen New York hinggalah ke London.

Kecantikan dan aspek feminin saling berkait dalam dunia solekan. Istilah ‘no makeup makeup’ diulang pakai sejak beberapa musim kebelakangan lalu, tetapi hakikatnya tiada jalan pintas untuk mendapatkan hasil riasan semula jadi.

Bagaimanapun, dalam aliran ini NARS menunjukkan calitan ringkas di kening dan bedak asas minimum mampu menghasilkan solekan neutral dengan impak wajah tanpa kesan cela.

Untuk trend ini, NARS banyak memperlihatkan gaya kening lurus dan semula jadi yang dipaparkan di pentas peragaan dunia.

Bak kata pengasasnya, Francois Nars yang mengendalikan solekan di belakang pentas bagi Marc Jacobs AW15 di New York, baru-baru ini, lorekan kening berdefinisi mampu menyerlahkan struktur wajah seseorang.

Riasan kulit segar tidak ketinggalan menjadi tunjang dalam musim ini. Sedikit adunan smokey di bahagian mata berupaya menyuntik gaya segar pada riasan biasa.

“Solekan kulit matte dan impak definisi pada kening ini memberikan hasil lebih menarik serta keseimbangan pada struktur wajah.

“Penampilan ini juga menampakkan sisi wanita elegan dan berkuasa. Marc mahukan gaya wanita sofistikated.

“Saya mengambil inspirasi daripada bintang era 1950-an dan 1960-an seperti Babe Paley serta Jacqueline de Ribes.

“Untuk persiapan kulit pula, rata-rata menggunakan penyegar NARSskin Multi-Action Hydrating dan krim pelembap Luminous Moisture,” katanya.

Namun tidak ramai yang berjaya melakarnya dengan baik lalu membuatkan solekan wajah tidak sekata dan celaru.

Caranya? Gunakan pembayang mata yang warnanya satu atau dua kali lebih terang daripada warna asal bulu kening.

Lakar lembut garisan lurus pada kening. Jika ronanya terlalu gelap atau dramatik sejak awal, sukar untuk mengadunnya selepas itu.

Juga jangan ketepikan kepentingan berus kening. Apabila mendapat bentuk yang diingini, barulah diadun sedikit dengan warna gelap menggunakan pembayang mata atau pensel kening.

Pada masa sama, gaya retro sering melatari trend solekan pada setiap musim berikutan impak vintaj dan klasik yang ditonjolkannya.

Bagi musim ini, rona lembayung pada bibir menjadi tumpuan kerana hasilnya yang glamor dan mudah digayakan. Ia juga sesuai untuk hampir semua jenis ton kulit dan amat chic apabila digandingkan dengan solekan mata sederhana.

Andai gaya lebih menonjol jadi pilihan, tatahan kemilau batu kristal Swarovski seperti yang dilakukan jurusolek NARS, James Kaliardos di pentas Rodarte.

“Solekan musim luruh dan dingin ini diilhamkan daripada idea kecantikan yang halus dan mulus.

“Efek kristal Swarovski pada bulu mata di bahagian bawah nyata membangkitkan impak memukau, ditambah olesan pengilat bibir yang melantunkan cahaya,” katanya.

Layangan maskara Audacious dijadikan pelengkap solekan. Direka dengan lebih 200 bulu dibentuk secara memanjang dan bercangkuk, maskara ini membantu menghasilkan penampilan bulu mata lebat dan panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 9:37 AM